PADANG KOTA – Selepas dua tahun pelaksanaan Mutiara Food Bank, program tersebut telah berjaya mengumpul sebanyak 738 tan makanan terdiri daripada sayur-sayuran (559 tan) dan makanan kering sebanyak 179 tan.
Menurut Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, program tersebut juga berjaya memanfaatkan kira-kira 36,215 orang.
“Skop program ini turut diperluaskan ke satu tahap yang dibanggakan iaitu menyalurkan bekalan makanan ke Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) melalui Program Food Bank Siswa dengan kerjasama daripada Yayasan Food Bank Malaysia.
“Antara IPTA yang terlibat setakat ini adalah UiTM Permatang Pauh dengan jumlah pelajar yang menerima bantuan ini adalah seramai 125 orang terdiri daripada keluarga yang berpendapatan B40,” ujar Boon Poh dalam Ucapan Penggulungan Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Keempat Belas dekat Dewan Sri Pinang malam tadi.
Dalam ucapan tersebut Boon Poh turut menyatakan tentang program Kerajaan Negeri dalam membela nasib gelandangan melalui program ‘Empowering The Street Citizens’.
“Sebuah pusat transit akan dibina untuk menempatkan golongan ini dan mereka akan dibekalkan dengan keperluan asas seperti makanan, pakaian dan tempat tinggal yang selesa sebagai permulaan.
“Tujuan utama penganjuran Program ‘Empowering The Street Citizens’ adalah untuk membantu dan mendayaupayakan golongan gelandangan di Pulau Pinang.
“Pada ketika ini, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sedang dalam tindakan membina sebuah pusat transit yang akan menjadi penempatan gelandangan dan juga turut bertindak sebagai pusat aktiviti warga emas di Lot 19, Jalan C.Y. Choy, George Town,” jelasnya lagi yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu.
Difahamkan proses panggilan tender akan dimulakan pada mingggu hadapan dan pengurusan swasta akan dilantik bagi menjaga tempat tersebut.
Antara isu lain turut disentuh pada sesi penggulungan tersebut termasuklah tindakan tegas terhadap pencemaran alam sekitar, memperkasakan program ‘Katakan Tidak Kepada Plastik Sekali Guna’, serta komitmen Kerajaan Negeri meneruskan program-program kebajikan sedia ada.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : LAW SUUN TING