Mutiara Health Kiosk demi tingkat pemahaman penyakit tidak berjangkit

DR. Afif Bahardin (dua dari kanan) turut menjalankan pemeriksaan tekanan darah, ketika melawat gerai MHK di Bangunan MARA pagi ini.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD

GEORGE TOWN – Mutiara Health Kiosk (MHK) di kawasan awam mampu menangani gejala penyakit tidak berjangkit dalam kalangan masyarakat.

Kenyataan tersebut dinyatakan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin pada Majlis Pelancaran MHK di sini 22 Februari lalu. 

Menurut beliau, penyakit tidak berjangkit yang dimaksudkan dan begitu sinonim dengan rakyat Malaysia adalah kencing manis, darah tinggi, serangan jantung dan lain-lain.

“Inisiatif MHK yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pulau Pinang mampu tingkatkan pemahaman rakyat terhadap penyakit-penyakit tidak berjangkit ini.

“Justeru, saya sarankan masyarakat di sini khasnya dapat merebut peluang ini untuk menjalankan saringan pemeriksaan kesihatan percuma yang disediakan, bak kata pepatah, mencegah itu adalah lebih baik daripada mengubati,” ucapnya pada majlis berkaitan. 

Kaunter MHK yang mula dibuka pada 22 Februari 2019 akan beroperasi pada setiap Selasa di Tingkat 3, Komtar dari jam 11 pagi hingga 2 petang; dan Khamis, aras bawah Bangunan MARA, Weld Quay waktu yang sama.

Hadir sama, Pengarah JKN Pulau Pinang, Datuk Dr. Wan Mansor Hamzah dan Ketua Penolong Pegawai Perubatan Negeri, Mohd. Amir Hashim.

Menyentuh tentang penyakit tidak berjangkit, Afif turut menyatakan bahawa Malaysia merupakan antara negara serantau di Asia Tenggara yang mempunyai kadar obesiti tinggi.

“Selain obesiti, kita (Malaysia) juga mempunyai kadar penyakit tidak berjangkit yang tinggi… bicara tentang Pulau Pinang pula, kencing manis serta darah tinggi adalah lebih sikit daripada kadar kebangsaan dan perlu dijaga,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya.

Mengulas lanjut, Afif turut menyentuh mengenai kesihatan mental rakyat Malaysia yang dilihat perlu diberi perhatian.

“Baru-baru ini, saya ada bertemu dengan sekumpulan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), dan kita akan memperkenalkan program Happy Penang dalam usaha menangani masalah kesihatan mental. 

“Kita ingin melihat soal kesedaran tentang kesihatan mental dalam kalangan rakyat,” katanya.