Muzium Negeri berkonsep kontemporari bakal dibuka tahun depan

GEORGE TOWN – Muzium Negeri Pulau Pinang yang terletak di Lebuh Farquhar dijangka akan dibuka semula selewat-lewatnya pertengahan 2024 setelah kerja-kerja naik taraf bangunan dan bahan pameran selesai.

 

 

Menurut Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin, pembukaan semula itu meliputi sebahagian bangunan asal yang pernah dibom dalam perang dunia kedua 1942.

 

 

 

“Bangunan yang dibina pada tahun 1821 ini menyimpan pelbagai sejarah seperti menempatkan Sekolah Penang Free dan pernah dicadangkan untuk dirobohkan, namun ia dibatalkan setelah Perdana Menteri Malaysia pertama, Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj mencadangkan bangunan ini sebagai muzium.

 

 

 

“Akhirnya pada tahun 1964, bangunan ini menempatkan Muzium dan Balai Seni Lukis Pulau Pinang telah dirasmikan oleh Gabenor Pulau Pinang yang pertama, Raja Tun Uda Raja Muhammad.

 

 

“Setelah 52 tahun melalui liku-liku sebagai muzium, 14 April 2017, bangunan ini ditutup bagi memberi laluan kepada kerj-kerja restorasi dan baik pulih bagi memelihara aspek warisannya,” ujar Soon Hin dalam satu sidang media ketika melawat sebahagian bangunan Muzium Negeri Pulau Pinang Lebuh Farquhar di sini pagi tadi.

 

 

 

Hadir sama, Pengarah Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Haryany Mohamed; Wakil Penguasa Jabatan Kerja Raya (JKR) Pulau Pinang, Dr. Roslinda Ghazali dan Pengarah Eksekutif Urbanisma Consulting Group Sdn. Bhd., Ar. Nik Rahiman Nik Mohd. Taib.

 

 

Tambah Soon Hin lagi, pengubahsuaian ikon bersejarah itu akan memberikan nafas baharu dengan menempatkan pameran berkonsepkan Rukun Negara di dalam bangunan yang bercirikan sekolah.

 

“Konsep muzium juga perlu sesuai dengan peredaran zaman, kita berhasrat menjadikan muzium sebagai satu lokasi yang mahu dikunjungi oleh pelancong seperti di negara-negara maju untuk orang ramai kenal lebih dekat dan hayati asal usul Pulau Pinang,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong.

 

Pada sidang media sama, Haryany memaklumkan konsep muzium baharu itu dilihat lebih interaktif dan kontemporari akan membawa pengunjung kembali semula ke zaman asal ketika mana bangunan tersebut didirikan dan berfungsi.

 

 

 

“Kita berharap bersempena Hari Muzium Antarabangsa yang akan dihoskan oleh LMNPP tahun hadapan, Muzium Negeri Pulau Pinang di Lebuh Farquhar ini dapat dibuka semula kepada orang ramai.

 

 

 

“Kita sasarkan sekurang-kurangnya 5,000 orang pengunjung pada setiap bulan ketika awal pembukaannya.

 

 

 

 

“Tidak ketinggalan adalah tapak ekskavasi di halaman muzium yang dibina khas bagi menunjukka kawasan asal sayap kanan bangunan ini sebelum dibom oleh pihak British ketika Jepun menduduki bangunan ini,” jelas Haryany lagi.

 

 

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : DARWINA MOHD. DAUD