PANTAI JEREJAK – Kerajaan menerusi Kementerian Perpaduan Negara akan sentiasa mengutamakan agenda untuk menjadikan muzium sebagai platform integrasi antara kaum, sesuai dengan fungsinya sebagai ‘guardian of heritage’.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata institusi muzium di Malaysia memainkan peranan yang penting dalam pembentukan jati diri dan perpaduan masyarakat yang sihat.
“Identiti Malaysia sememangnya terkenal pada peringkat antarabangsa sebagai sebuah negara dengan kepelbagaian.
“Justeru, institusi permuziuman di Malaysia harus memainkan peranan mereka yang sangat penting dalam mengekalkan serta melindungi khazanah sejarah dan budaya, sekaligus menjadi ejen pengukuhan jati diri rakyat di negara ini.
“Untuk makluman semua, Festival Hari Muzium Antarabangsa ini telah diangkat sebagai salah satu program di bawah Inisiatif Citra Nusa@Muzium dan merupakaan
sebahagian daripada usaha memperkukuh kesedaran terhadap khazanah warisan negara dalam kalangan generasi muda,” ujarnya pada Majlis Penutup Sambutan Festival Hari Muzium Antarabangsa (HMA) 2024 di Pusat Konvensyen SPICE Arena di sini semalam.
Majlis Penutup HMA 2024 disempurnkan oleh Yang Dipertua Negeri (TYT), Tun Ahmad Ahmad Fuzi Abdul Razak.
Hadir sama, Timbalan Menteri Perpaduan, Senator K. Saraswathy; Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif merangkap Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (LMNPP), Wong Hon Wai dan dif-dif kehormat yang lain.
HMA 2024 yang mengetengahkan tema Muzium untuk Pendidikan dan Penyelidikan adalah amat bertepatan dengan definisi fungsi muzium yang ditetapkan oleh International Council of Museum.
Sementara itu, Mohamad dalam ucapannya berkata, penganjuran HMA 2024 merupakan acara penting bagi negeri Pulau Pinang yang mana program berkaitan turut disenaraikan sebagai salah satu acara utama dalam kalendar pelancongan negeri bagi tahun 2024.
“Dengan tema Muzium untuk Pendidikan dan Penyelidikan, saya yakin bahawa festival kali ini dapat memperkukuh jaringan kerjasama di antara institusi permuziuman di Malaysia serta luar negara.
“Selain menyumbang kepada penjanaan ekonomi industri kreatif Pulau Pinang, acara berprestij ini merupakan platform interaksi serta pendedahan terhadap seni, warisan, sejarah dan budaya yang dibawakan oleh setiap institusi permuziuman yang menyertainya.
“Dari sudut kesenian, sejarah hingga sains dan teknologi, muzium merupakan hab penyelidikan serta pendidikan dalam membentuk pemahaman kita tentang peradaban sejagat,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak.
Turut berlangsung, penyampaian Anugerah Khas Permuziuman dan hadiah-hadiah pertandingan sempena HMA 2024.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD