Naik taraf astaka demi gamit pengunjung juga peniaga

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

SERI DELIMA – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Delima, Syerleena Abdul Rashid bakal mengemukakan cadangan untuk menaik taraf Astaka Jalan Akuarium Sungai Gelugor kepada pihak-pihak berkaitan dalam tempoh masa terdekat.

Menurut beliau, keadaan astaka yang kurang terurus sebelum diambil alih oleh MBPP pada awal 2020 dipercayai menjadi punca ia kurang dikunjungi dan permintaan daripada golongan penjaja untuk memenuhi lot-lot kosong ditawarkan juga adalah tidak menggalakkan.

“Astaka ini pada zaman 80-an dan 90-an memang top kerana berada di jalan utama, jadi mungkin kerana faktor penyelenggaraan menjadikan ia kurang memuaskan kini.

“Antara perkara yang telah dibaik pulih sejak 2018 adalah bumbung, mencantas pokok, permukaan lantai, menambah lampu, naik taraf sinki, perparitan, bina depo sampah dan lain-lain untuk menggamit semula pengunjung.

“Bagi tahun 2021, antara yang bakal dibuat adalah tambah kanopi lutsinar dan dengan kerjasama pihak Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), kita akan beri ruang kepada pemuzik jalanan untuk busking di lokasi ini pada setiap hari Sabtu serta Ahad,” ujarnya ketika menyempurnakan penyerahan 400 unit kerusi dan 100 unit meja makan kepada penjaja Astaka Jalan Akuarium di sini 23 Disember 2020.

Hadir sama, Ahli Majlis bagi MBPP, Tan Soo Siang dan Quah Boon Lim serta Pengerusi Majlis Pengrusan Komuniti Kampung (MPKK) Jalan Akuarium, Amir Rudin Abdul Rahman.

Tambah Syerleena, sumbangan oleh MBPP tersebut juga merupakan sebahagian daripada perancangan bagi menambah baik keadaan di astaka tersebut.

“Turut dicadangkan kepada Pejabat Daerah Timur Laut adalah untuk menggunakan tanah lapang bersebelahan astaka sebagai lot parkir tambahan,’’ ulasnya.