GEORGE TOWN – Dua unit lif Pangsapuri Sri Tanjung dekat Jalan Perak di sini bakal dinaik taraf demi keselesaan penduduk membabitkan kos keseluruhan RM310,000.
Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perandangan Bandar & Desa, Jagdeep Singh Deo berkata bahawa projek menaik taraf tersebut akan dilaksanakan di bawah Tabung Penyelenggaraan Maksimum 80 Peratus Pulau Pinang (TPM80PP).
“Melalui TPM80PP, Kerajaan Negeri membiayai sebanyak 80 peratus atau bersamaan RM248,000 bagi projek ini.
“Selain itu, selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, saya sendiri akan membiayai projek ini sebanyak 10 peratus makanala baki selebihnya akan dibayar oleh penduduk di sini.
“Projek ini telah pun diluluskan dan dijangka selesai dalam tempoh enam bulan lagi,” katanya pada sidang media berkaitan projek tersebut dekat sini pagi tadi.
Turut hadir, Pengerusi Perbadanan Pengurusan Flat Sri Tanjung, Lim Seng Kah serta wakil-wakil Lambaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP).
Dalam pada itu, Jagdeep menyatakan bahawa Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM308.4 juta membabitkan 589 projek penyelenggaraan skim perumahan setakat ini.
“Di samping itu, Kerajaan Negeri berharap agar Kerajaan Pusat dapat membantu menyalurkan peruntukan bagi projek-projek penyelenggaraan ini.
“Sehubungan dengan ini, saya telah mohon secara rasmi agar diberi maklum balas berhubung permintaan Kerajaan Negeri berkaitan tunggakan bagi 157 projek penyelenggaraan di negeri Pulau Pinang berjumlah RM126.279 juta,” tegasnya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADUN