Naik taraf jalan alternatif Bertam Walk ke Pongsu Seribu telan belanja RM89,000 – Ketua Menteri

BERTAM – Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang membelanjakan RM89,000 untuk kerja-kerja penarafan dan pelebaran jalan alternatif sepanjang 400 meter (m) yang menghubungkan Bertam Walk ke Pongsu Seribu.

(Dari kiri) MUHAMAD Hafidzuddin Mohd. Ridowan, Lay Hock Peng, Ketua Menteri dan Sr. Rozali Mohamud saling berbincang ringkas mengenai cadangan projek penarafan susulan jalan alternatif tersebut setelah melihat aliran trafik kenderaan pada waktu puncak petang tadi di sini.

Bercakap kepada pemberita, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pihaknya berharap projek penarafan ‘jalan kampung’ yang telah siap sejak dua minggu lepas itu dapat melancarkan lagi aliran trafik kenderaan serta meningkatkan tahap keselamatan pengguna terutama pada waktu puncak.

SR. Rozali Mohamud

Selain itu, beliau turut meminta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud supaya membuat kajian lanjut mengenai kaedah memperbaiki jajaran jalan alternatif tersebut mengikut spesifikasi standard jalan raya untuk laluan dua hala, termasuk pelan pengambilan tanah di kawasan persendirian berkaitan.

“Lebar jalan yang diperlebarkan ini baru 20 kaki, sepatutnya 40 kaki ikut piawaian jalan standard (untuk laluan dua hala).

“Walaupun ‘jalan kampung’ ini baru dilebarkan, saya nampak perlu ditambah baik lagi.

“Justeru, kita (Pejabat Ketua Menteri) menunggu laporan kajian oleh MBSP, sejauh mana kita boleh lakukan dalam tempoh terdekat,” jelasnya selepas meninjau sendiri projek penarafan jalan alternatif tersebut ke Taman Rupawan di sini pada 24 April 2021.

LAY Hock Peng

Selain Rozali, turut serta adalah Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif, Yeoh Soon Hin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong; Lay Hock Peng (Pegawai Penyelaras Khas Kepada Ketua Menteri) dan Muhamad Hafidzuddin Mohd. Ridowan (Penolong Pegawai Daerah Seberang Perai Utara, SPU).

Mengulas lanjut, Kon Yeow yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi memberitahu bahawa pihaknya berharap MBSP dapat mengemukakan laporan berkaitan dalam tahun ini juga, supaya suatu peruntukan dapat diwujudkan dalam belanjawan Kerajaan Negeri bagi tahun 2022.

“Pengalaman kita (Kerajaan Negeri), selalunya kos naik taraf struktur jalan raya adalah mengikut kadar kebiasaan yang ada.

MUHAMAD Hafidzuddin Mohd. Ridowan

“Tetapi, kos yang begitu mahal adalah mengakibatkan proses pengambilan balik tanah (untuk tujuan pelebaran jalan raya sedia ada),” ujarnya yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Sebelum itu, Muhamad Hafidzuddin menyatakan bahawa Pejabat Daerah dan Tanah SPU diarahkan melaksanakan projek penarafan tersebut susulan isu berkaitan beberapa kali dibangkitkan dalam sesi persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR