AIR ITAM – Projek Sambungan dan Menaik taraf Jalan Zoo dari Simpang Jalan Ayer Itam ke Jalan Kampung Pisang dekat sini yang menelan kos RM13.65 juta merupakan antara projek infrastruktur untuk rakyat hasil inisiatif Kerajaan Negeri.
Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng berkata, projek yang memakan masa 18 bulan itu bukan sahaja akan mengubah landskap Air Itam dan kawasan sekitar, malah bakal menyuraikan kesesakan lalulintas di kawasan ini.
Jelas beliau, isipadu aliran lalulintas di Jalan Ayer Itam meningkat mendadak terutama pada waktu-waktu puncak, setiap hari.
“Tanpa pelebaran jalan atau penyediaan laluan alternatif, masalah kesesakan bukan sahaja akan berterusan, tetapi akan bertambah buruk.
“Kerajaan Negeri prihatin terhadap masalah kesesakan lalulintas dihadapi rakyat khususnya penduduk sekitar Air Itam ini, setiap hari.
“Oleh demikian, demi kemudahan dan keselesaan rakyat dan penduduk sekitar Air Itam, Kerajaan Negeri bersetuju untuk membiayai pelaksanaan projek ini,” ucapnya pada majlis pelancaran projek berkaitan di sini baru-baru ini.
Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri; Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari; Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh; barisan Ahliahli Majlis, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP); Setiausaha Bandaraya, Dato’ Ir. Ang Aing Thye serta ahli-ahli Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat.
Dalam pada itu, Guan Eng turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri kini dalam perancangan untuk membina Lebuhraya Ayer Itam By-pass yang menyambungkan Lebuhraya Thean Teik, Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu dan Penang Island Link dari Jambatan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah melalui Jalan Paya Terubong ke Jalan Tanjung Tokong.
“Selain projek Jalan Bukit Kukus, projek Lebuhraya Ayer Itam By-pass ini dijangka akan menyuraikan kesesakan lalulintas di kawasan Air Itam dan Paya Terubong.
“(Dan) projek ini bakal dimulakan pada akhir tahun ini,” ujarnya yang juga merupakan ADUN Air Putih.
Asalnya, Jalan Zoo tidak bersambung dan terpisah antara Jalan Ayer Itam dan Jalan Kampung Pisang.
Apabila selesai projek sambungan dan menaik taraf yang dijangka pada Jun 2017, jalan tersebut akan bersambungan dan menghubungkan penduduk di Air Itam, Paya Terubong, Relau dan kawasan selatan pulau.