Naik taraf Jambatan Taman Cantik siap, akan dibuka 23 Februari

Admin
BEBERAPA pemimpin Kerajaan Negeri semasa sesi lawatan tapak projek penarafan Jambatan Cantik di sini pada pagi tadi.

BAGAN JERMAL – Jambatan Taman Cantik di sini yang siap dinaik taraf akan dibuka semula pada 23 Februari ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Soon Lip Chee.

SOON Lip Chee

Bercakap kepada pemberita, beliau yang juga Exco Belia dan Sukan memberitahu bahawa kini pihak kontraktor yang dilantik oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang sedang melakukan kerja-kerja membaiki kecacatan struktur jalan raya berhampiran jambatan tersebut yang dikenal pasti agak cerun di sini.

“Kita harap tahap kecerunan jalan berhampiran jambatan ini segera dibaik pulih.

“Jambatan ini dijangka akan dibuka sepenuhnya pada 23 Februari (2021)…saya harap JPS dapat tunaikan janji ini,” jelasnya sejurus membuat lawatan ringkas di tapak projek tersebut pada 18 Februari 2021.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu bahawa projek penarafan Jambatan Taman Cantik tersebut merupakan sebahagian daripada komponen projek di bawah Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Mak Mandin.

Selain itu, beliau memberitahu bahawa JPS negeri baru-baru ini telah siap melakukan kerja-kerja pelebaran jalan raya dan parit monsun berhampiran Jambatan Cantik.

“Walaupun sekarang adalah musim kemarau, dengan projek pelebaran jalan raya dan sistem parit monsun ini, dapat mengurangkan lagi risiko banjir nanti,” katanya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD