SEBERANG PERAI – Projek penarafan Kompleks Makanan Lebuh Tenggiri dengan kos belanja RM506,000, dijangka siap sepenuhnya pada Jun tahun depan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memberitahu bahawa tujuan Kerajaan Negeri melaksanakan pelbagai projek penarafan infrastruktur kompleks makanan adalah untuk memartabat lagi golongan penjaja serta meningkatkan kualiti hidup rakyat di Pulau Pinang.
Beliau yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Pulau Pinang mahu negeri ini terus menjadi destinasi terbaik untuk golongan penjaja makanan mencari rezeki, selain untuk rakyat terbanyak menikmati makanan lazat.
“Program ini dilaksanakan adalah untuk menaik taraf kawasan fizikal peniaga kecil kepada satu tahap yang lebih bersih dan menarik… memberi impak positif ke atas masyarakat,” jelasnya ketika merasmikan Gerai Sementara Projek Naik Taraf Kompleks Makanan Lebuh Tenggiri di sini pada 15 Disember 2018.
Turut berucap, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Dr. Afif Bahardin dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Jaya (MPSP), Dato’ Sr. Rozali Mohamud.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Kon Yeow menyatakan bahawa inisiatif mewujudkan Kompleks Makanan Lebuh Tenggiri di atas kawasan pejalan kaki di sini adalah rancangan pembangunan Kerajaan Negeri terdahulu sebelum tahun 2008.
Tambahnya, projek penarafan yang dilaksanakan di kompleks sedia ada tersebut adalah ‘pendekatan sementara’ berdasarkan respons penduduk setempat, sebagaimana dipanjangkan oleh ADUN Seberang Jaya sebelum ini.
Selain itu, kata Kon Yeow, beliau akan meminta Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancangan Bandar dan Desa, Jagdeep Singh Deo dan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk saling mencari jalan penyelesaian dengan ‘pendekatan sementara’ juga dalam isu sebenar yang didepani penjaja-penjaja tanpa lesen terutama di Seberang Perai.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : AHMAD ADIL MUHAMAD