AIR ITAM – Demi menjamin keselesaan para pengunjung, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memperuntukkan RM2.45 juta bagi menaik taraf Kompleks Makanan Kampung Melayu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Joseph Ng Soon Siang ketika ditemui berkata, jumlah peruntukan tersebut meliputi kerja-kerja meroboh dan membina semula kompleks makanan tersebut.
“Ini termasuk kerja-kerja mengubah suai tandas yang dimasukkan sekali dalam projek naik taraf Kompleks Makanan Kampung Melayu.
“Kerja-kerja naik taraf ini bertujuan agar Kompleks Makanan Kampung Melayu ini lebih bersih, selesa dan lestari untuk pengunjung menjamu selera.
“Malah, pemasangan penapisan gris juga menjadikan kompleks makanan ini lebih lestari dan mesra alam sekitar,” ujarnya dalam satu sidang media di sini pagi tadi.
Difahamkan, projek menaik taraf ini sudah bermula sejak 15 Ogos lalu dan dijangka siap pada 15 Disember 2025.
Mengulas lanjut, Soon Siang memaklumkan bahawa sepanjang projek dijalankan, para peniaga akan ditempatkan di tapak penjaja sementara yang telah dibina bersebelahan surau Kampung Melayu.
“Kompleks makanan ini merupakan kompleks makanan yang 100 peratus menjual makanan dan minuman halal di Air Itam ini,” katanya.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD