Naik taraf Kompleks Makanan Padang Brown jangka siap Mac tahun depan

MAJLIS Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini telah memperuntukkan sejumlah RM389,195 untuk projek pembinaan sambungan bumbung di Kompleks Makanan Padang Brown, Jalan Perak.

Difahamkan, objektif utama projek ini melibatkan penambahan bumbung, termasuk juga pemasangan lampu dan kipas baharu di kawasan ruang makan tambahan.

Di samping itu, projek berkaitan dijangka siap sepenuhnya pada 14 Mac tahun hadapan dan kini dilaksanakan secara berperingkat dan dimulakan dengan bahagian premis tidak halal.

Justeru, wartawan Buletin Mutiara, NUR ASHIKIN ISMAIL cuba mendekati beberapa responden yang terdiri daripada peniaga di Kompleks Makan Padang Brown dekat sini.

DARI kiri Teoh Joo Eow dan Tho Tong Aun.

Bagi THO TONG AUN, 60 yang merupakan penjual air di kompleks makanan berkaitan berharap agar kerja-kerja penaiktarafan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan.

“Kerja-kerja penaiktarafan mula dijalankan pada hari Isnin lalu melibatkan bahagian premis makanan tidak halal dan dijangka siap pada Sabtu ini.

“Justeru, para peniaga akan kembali berniaga pada hari Ahad dek telah mencapai kata sepakat bersama-sama pihak kontraktor untuk mempercepatkan proses penaiktarafan,” ujarnya yang peka akan kepentingan keselesaan pelanggan.

GAMBAR atas menunjukkan sidang media yang diadakan baru-baru ini diterajui Teh Lai Heng serta kerja-kerja pembinaan yang berlangsung.

Menurut TEOH JOO EOW, 52, pula memuji tindakan MBPP yang telah memberikan cadangan untuk melaksanakan pemasangan bumbung di kompleks tersebut.

“Penyediaan ruang makan tambahan berbumbung berupaya melindungi pelanggan daripada cuaca panas atau hujan, serta menampung jumlah pelanggan yang semakin ramai.

“Kebiasaannya pada hujung minggu dan cuti umum, pelanggan dan pelancong akan mula membanjiri kompleks makanan ini, jadi wajarlah kerja-kerja penaiktarafan ini dijalankan,” jelasnya sambil menyatakanbahawa projek berkaitan secara tidak langsung dapat menambah keuntungan jualan mereka.

SIM Seng Teong.

Selain itu, SIM SENG TEONG pula memaklumkan bahawa kerja-kerja penaiktarafan yang dijalankan tidak mengundang masalah kepada para peniaga jika disiapkan mengikut tempoh ditetapkan.

“Para peniaga di sini akur dengan penutupan sementara premis dalam beberapa hari ini dan diharapkan kerja pemasangan bumbung dan penambahan lampu serta kipas baharu berjalan dengan lancar.

“Dalam pada itu, diharapkan juga seusai kerja-kerja penaiktarafan kawasan medan selera (54 premis keseluruhan) berada dalam keadaan bersih tanpa habuk dan pasir untuk menjamin keselesaan pelanggan,” kata peniaga berusia 65 tahun itu.

Teks dan Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL