Naik taraf kompleks renang Seberang Jaya dijangka siap Oktober

Admin

SEBERANG JAYA – Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee dalam sidang media baru-baru ini menyambut seruan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh Tseow Suan dalam merancakkan lagi acara sukan olahraga dan berenang.

Lantaran itu, Kerajaan Negeri bakal menaik taraf Kompleks Kolam Renang Awam Seberang Jaya dan melantik D’Swim Academy (DSA) Sdn. Bhd. bagi pelaksanaan kerja-kerja menaik taraf, mengurus serta menyelenggara kompleks tersebut.

SOON Lip Chee.

Menurut Lip Chee, bilangan kolam renang awam milik Kerajaan Negeri masih dalam amaun minimal dan bakal dibangunkan lagi pada masa akan datang.

“Saya telah dimaklumkan kolam renang awam yang bakal siap ini akan memanfaatkan banyak pihak dek fasiliti dan reka bentuk yang memenuhi cita rasa dan keselesaan pengunjung.

“Terdapat kolam utama yang sesuai untuk orang dewasa dan ‘wading pool’ bagi kegunaan kanak-kanak, ditambah pula dengan pemasangan bumbung yang berfungsi melindungi perenang dari cuaca panas dan hujan.

“Bukan itu sahaja, kemudahan seperti bilik persalinan, surau, kafeteria turut tersedia dan telah diselenggara dengan sangat baik,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal.

SOON Lip Chee (kanan) menunjukkan butir pelaksanaan projek penaiktarafan kolam renang awam tersebut.
SEKITAR tapak penaiktarafan kolam renang awam yang dijalankan.

ADUN Machang Bubuk yang juga ADUN angkat Seberang Jaya, Lee Khai Loon; Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium & Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP), Rashidah Jalaludin; Pengurus Besar D’Swim Academy (DSA) Sdn. Bhd., Cyrena Yong serta wakil-wakil dari Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) antara yang turut sertai dalam sidang media di sini.

Mengulas lanjut, Lip Chee berkata beliau menyifatkan projek kolam renang awam berkaitan bukan hanya memfokuskan acara berenang, malahan juga dari segi akademik.

“Pihak DSA serta PSDKLPP turut berasa teruja untuk segera menyiapkan projek ini serta mengalu-alukan kunjungan orang ramai.

“Di samping itu, mereka turut menyatakan bukan sahaja atlet Sukan Malaysia (SUKMA) yang boleh datang ke sini, malah pembelajaran atau kursus renang untuk kanak-kanak juga bakal diadakan dengan kerjasama jurulatih berlesen,” tambahnya yang turut berharap kompleks tersebut dapat dibuka hujung tahun ini.

Buletin Mutiara difahamkan, kadar harga yang telah ditetapkan nanti adalah kekal dan tidak boleh dinaikkan tanpa kelulusan PSDKLPP. Sebanyak RM3 dikenakan bagi dewasa, kanak-kanak 12 tahun ke bawah (RM1.50) dan percuma bagi warga emas dan orang kurang upaya (OKU).

Oleh : NUR ASHIKIN ISMAIL
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD