Naik taraf Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony diharap lahir lebih ramai atlet profesional

Admin
img 20250302 wa0009

SEBERANG JAYA – Kerja-kerja menaik taraf Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony dekat sini akan mengambil masa setahun untuk disiapkan dan dijangka dapat dibuka kepada umum pada Mac tahun depan.

Projek melibatkan kos kira-kira RM12 juta itu akan dilaksanakan oleh syarikat berpengalaman lebih lima tahun dalam pengurusan dan fasiliti sukan, Sportizza Sdn. Bhd..

Sportizza Sdn. Bhd. juga bertanggungjawab untuk menguruskan serta menyelenggara fasiliti di kompleks sukan tersebut selama 30 tahun.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berharap agar kompleks sukan tersebut dapat menjadi platform untuk melahirkan lebih ramai atlet profesional di negara ini.

“Selain boleh digunakan oleh komuniti di Seberang Perai, khususnya Seberang Jaya, pihak syarikat juga akan menganjurkan program-program latihan untuk mencungkil bakat-baru dalam bidang sukan.

“Dari kompleks sukan ini juga, kita berharap dapat melahirkan atlet-atlet jaguh bukan sahaja pada peringkat negeri, malah juga peringkat negara dan antarabangsa,” katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas merasmikan majlis pecah tanah bagi pelaksanaan projek tersebut dekat sini sebentar tadi.

img 20250302 wa0014img 20250302 wa0011img 20250302 wa0013img 20250302 wa0018img 20250302 wa0017

Hadir sama, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooi Zi Sen; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal, Chee Yeeh Keen; Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Dato’ Baderul Amin Abdul Hamid; Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang, Rashidah Jalaludin dan Ketua Pegawai Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Sportizza Sdn. Bhd., Chiew Chun Yong.

Menurut Kon Yeow, kompleks sukan yang berkeluasan lebih lapan ekar itu bakal menyediakan sebuah padang bola sepak jenis rumput tiruan dengan 200 tempat duduk penonton.

“Selain itu, kompleks ini juga akan dilengkapi dengan lima gelanggang futsal dengan salah satu daripadanya adalah bersaiz FIFA, gelanggang badminton (12) dan gelanggang pickel ball (5).

“Kemudahan lain yang turut disediakan adalah seperti bilik persalinan, gimnasium, kedai, surau, tandas, bilik mesyuarat, tempat letak kereta dan lain-lain lagi.

“Gelanggang badminton dan futsal sedia ada di sini dapat digunakan sebagai gelanggang serbaguna kepada aktiviti sukan lain seperti bola jaring, bola tampar, hoki, dogdeball, tenis, bola keranjang dan lain-lain lagi,” ulasnya lanjut.

Sementara itu, Zi Sen berharap projek menaik taraf kompleks sukan dan rekreasi tersebut dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Kerajaan Negeri ingin mengucapkan tahniah kepada Sportizza Sd. Bhd. yang berjaya dalam tender terbuka Request For Proposal (RFP) dan berharap projek ini dapat disiapkan dalam tempoh ditetapkan.

“Saya juga berharap agar Sportizza Sd. Bhd. dapat menjalankan kerja menaik taraf dan menyediakan pembangunan Kompleks Sukan dan Rekreasi Sony, Seberang Jaya dengan kemudahan baru bagi kegunaan orang awam,” katanya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : SIEW CHIA EN
Video : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI