PULAU TIKUS – Kerajaan Negeri memperuntukkan RM400,000 melalui caruman perparitan bagi menaik taraf longkang di Solok Kebun Nyiur dalam mengurangkan impak banjir di kawasan sekitar.
Menurut Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari, projek tersebut penting terutamanya bagi membendung bencana banjir kilat yang kerap kali melanda hingga ke dalam sel Penjara Reman Pulau Pinang.
“Ia berlaku akibat saliran sebelum ini adalah saliran lama iaitu 300 milimeter (mm) ke 400 mm sahaja, jadi kita naik taraf kepada saliran lebih besar 1.2 meter (m) lebar, 900mm tinggi.
“Saliran lama masih ada dan kita akan bina lima penghubung dengan saliran baharu bagi menampung lebihan air.
“Projek yang sudah bermula pada 1 November 2022 kita jangkakan siap pada 1 Mei 2023 dengan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) adalah sebagai agensi pelaksana dan difahamkan projek sudah mencapai 60 peratus,” ujar Zairil dalam satu sidang media di Solok Kebun Nyiur di sini pagi tadi.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pulau Tikus, Chris Lee Chun Kit dan Pengarah Penjara Pulau Pinang, TKP Roslan Mohamed.
Roslan ketika mengulas isu tersebut memberitahu, masalah tersebut boleh mencapai tahap kritikal sehingga banjir kilat mampu mencecah ke paras katil dan membahayakan tahanan.
“Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengambil maklum masalah ini dengan menaik taraf longkang di sini demi keselamatan dan kesihatan,” katanya.
Oleh :WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : SIEW CHIA EN