Naik taraf lorong belakang kikis persepsi negatif, jadi tarikan baharu

Teks & Gambar : WATAWA NATAF ZULKIFLI

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng menyifatkan projek mentransformasikan lorong
belakang dapat mengubah persepsi negatif masyarakat terhadap lokasi berkenaan yang gelap, berbahaya, terbiar dan kotor kepada suasana lebih selamat, hijau serta bersih.

Katanya, projek tersebut bukan sahaja dapat mengindahkan lorong belakang, malah turut mewujudkan laluan alternatif yang lebih selamat kepada pejalan kaki dan penunggang basikal.

“Projek ini pasti dapat menjadi mercu tanda baharu di bandar George Town.

“Reka bentuk canvas yang berwarna-warni disediakan di pintu masuk bagi menarik perhatian orang awam dan mewujudkan suasana ‘mengalu-alukan’ (sense of welcoming).

“Manakala, gaya reka bentuk di lorong belakang pula mengadaptasikan ‘raw design’ bagi mengekalkan identiti dan ciri-ciri seni bina sedia ada.

“Bahan binaan mentah seperti ‘recycled wood’, simen mentah dan batu-bata digunakan supaya reka bentuk lorong belakang ‘berharmoni’ dengan bangunan lama yang memiliki ciri-ciri khas dan menjadi daya tarikan di mata pengunjung,” ucap beliau pada Majlis Perasmian Projek Menaik Taraf Lorong Belakang Yang Menghubungkan Jalan Magazine Ke Jalan Gurdwara di sini baru-baru ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai
Heng; ADUN Sungai Pinang, Lim Siew Khim; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang; Pengarah Urusan M Summit Group, Datuk Albert Moh See Eng; Pengarah World Class Global, Datuk Frank Koay.

Guan Eng dalam pada itu berharap projek naik taraf lorong belakang berkaitan mampu menjadi contoh kepada lokasi-lokasi lain di negeri ini.

“Projek menaik taraf lorong belakang ini merupakan projek contoh yang baik… maka saya berharap banyak lagi lorong
belakang di Pulau Pinang boleh dinaik taraf dan dimanfaatkan oleh rakyat tempatan,” ujarnya yang juga ADUN Air Putih.

Difahamkan, projek naik taraf sepanjang 135 meter, berkeluasan 870 meter persegi tersebut merupakan projek tanggungjawab korporat sosial (CSR) M Summit dan World Class Global bernilai RM840,000.

Antara kerja-kerja yang terlibat termasuk menaik taraf lorong belakang, membina semula longkang, kerja-kerja landskap ,
memasang lampu, papan tanda, kerja-kerja utiliti dan kerja-kerja pengindahan lain.