SUNGAI BAKAP – Peruntukan berjumlah RM470,000 yang diperoleh daripada
Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi tujuan menaik taraf Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara sebelum ini akan digunakan sebaik mungkin setelah sesi libat urus bersama para peniaga diadakan kelak.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa peruntukan berjumlah sederhana itu akan digunakan sebaik mungkin setelah sesi interaksi dengan para peniaga di pasar ini diadakan kelak dengan harapan ia dapat ditambah baik.
“Kebetulan, YB Jason (H’ng Mooi Lye, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa) membawa berita baik dengan peruntukan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk tujuan naik taraf pasar awam ini.
“Setelah mendengar pelbagai cadangan oleh para peniaga tadi, YB Jason akan atur sesi libat urus bersama-sama para peniaga untuk melihat kerja-kerja yang menjadi keutamaan mengikut jumlah peruntukan tersebut,” katanya seusai sesi lawatan ke Pasar Awam Bandar Tasek Mutiara di sini pagi tadi.
Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid; Mooi Lye; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tambun, Goh Choon Aik; Pegawai Penyelaras KADUN Sungai Bakap, Muttaqeen Mustafa dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat.
Mengulas lanjut, Kon Yeow menyatakan bahawa selain peruntukan pihak kementerian, Kerajaan Negeri juga berharap MBSP (Majlis Bandaraya Seberang Perai) yang mana sedang mengusahakan proses penaiktarafan bagi membawa suasana selesa kepada pasar berkaitan dapat berjalan dengan lancar.
“Pasar Bandar Tasek
Mutiara memberi pekhidmatan yang sangat luas kepada kawasan Sungai Bakap, ini kerana difahamkan di sini (Sungai Bakap) cuma terdapat sebuah pasar awam, dan ia sebenarnya terletak di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi,” jelasnya yang juga Ahli Parlimen Batu Kawan.
Tambah Kon Yeow, beliau berharap dengan peruntukan RM470,000 dan juga pelaksanaan kerja-kerja lain oleh MBSP, pasar tersebut dapat ditambah baik.
“Ini termasuk beberapa perkara kerja berskala kecil seperti menambah kipas, bumbung (awning), penutup longkang dan lampu yang sebelum ini tertangguh dan kini dapat diambil tindakan segera oleh MBSP,” ulasnya lanjut.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : DARWINA MOHD. DAUD