JAWI – Kerajaan Negeri berharap projek menaik taraf pembentung di Jalan Teluk Ipil dapat mengurangkan risiko banjir yang selama ini dihadapi oleh penduduk terutama sekitar kawasan Taman Nibong Tebal di sini.
Mengulas lanjut, Exco Infrastruktur dan Pengangkutan, Zairil Khir Johari berkata Jabatan Kerja Raya (JKR) selaku pelaksana projek tersebut berjaya menjimatkan RM356,000 berbanding kos asal projek tersebut yang bernilai hampir RM1.18 juta.
“Pihak JKR dan kontraktor yang dilantik menyiapkan projek pembaikan pembentung dan longkang monsun bertujuan untuk melancarkan aliran air serta mengatasi masalah banjir di Taman Nibong Tebal Daerah SPS (Seberang Perai Selatan) dan kawasan sekitarnya.
“Antara skop kerja utama yang terlibat termasuklah menaiktaraf longkang dari lebar asal tiga (3) meter (m) kepada kelebaran 5m; perobohan pembentung asal; penanaman cerucuk, pembinaan struktur abutment & concrete slab; pengalihan utiliti seta kerja-kerja turapan jalan baru, pemasangan railing & perabot jalan.
“Pembinaan longkang monsun dengan kelebaran 5m adalah bagi melancarkan airan air dari Taman Nibong Tebal dan kawasan sekitar ke ruman pam JPD di samping mengatasi masalah banjir kilat bagi menjamin keselamatan penduduk sekitar,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga kepada pemberita selepas majlis perasmian penyiapan projek berkaitan di sini baru-baru ini.
Turut serta, Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Menteri Pendidikan merangkap Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek; Pengarah JKR Pulau Pinang, Ir. Ahmad Nadzri Abdul Majid dan Jurutera Daerah JKR, Ir. Mohamad Rodzi Hasan.
Buletin Mutiara difahamkan, projek menaik taraf pembentung tersebut mula dilaksanakan pada 3 Ogos 2021, dengan mengambil masa kira-kira 15 bulan dan siap sepenuhnya pada 11 November lepas.
Teks & Gambar : NUR ASHIKIN ISMAIL