BATU MAUNG – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow memuji usaha Perbadanan Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) memperuntukkan RM1.5 juta bagi kerja-kerja menaik taraf bangunan Rumah Pangsa Type R Bukit Gedung demi selesa rakyat.
Menurut beliau, kerja-kerja tersebut meliputi penambahbaikan struktur bangunan di 10 blok Type R dan pemasangan ‘gutter’ bahagian dalam yang melibatkan 10 blok bangunan.
“Atas prihatinan dan tanggungjawab bagi memastikan keselesaan penduduk, PDC kini sedang melaksanakan beberapa kerja-kerja pembaikan struktur di Blok 12, 12A, 16 & 16A serta penukaran ‘gutter’ bahagian dalam yang melibatkan 10 blok bangunan yang dijangka menelan belanja melebihi RM1.5 juta.
“Selain itu, kerja pengecatan bangunan telah mula dijalankan oleh pihak Jabatan Pesuruhjaya Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) sejak Oktober 2022 dan dijangka siap sepenuhnya sebelum penghujung Februari 2023.
“Kos keseluruhan (pengecatan) adalah berjumlah RM1.4 juta dengan peruntukkan daripada Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM),” ujarnya pada Majlis Perasmian Kerja-Kerja Pembaikan Kritikal Di Projek Rumah Pangsa Type R Bukit Gedung bersempena Jelajah ❤️PENANG Ketua Menteri 2.0 di sini tengah hari tadi.
Hadir sama, Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato’ Abdul Halim Hussain; Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin; Ketua Pegawai Eksekutif PDC, Dato’ Aziz Bakar dan Pegawai Daerah Barat Daya (DBD), Mohd. Hafiz Aswad Nadzri.
Difahamkan, Rumah Pangsa Type R yang mempunyai 10 blok itu menempatkan 909 unit kediaman dan telah memperoleh Sijil Penghunian pada tahun 1985 dan 1986.
Bersempena Tahun Baru Cina yang bakal menjelang, PDC turut menjalankan projek tanggungjawab korporat sosial (CSR) dengan kerjasama Mutiara Food Bank menyerahkan bantuan keperluan kepada 100 penerima yang layak.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR
Video : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS