Naik taraf Seri Teratai siap 85 peratus – Exco

Admin

PULAU TIKUS – Projek menaik taraf kediaman rasmi Ketua Menteri, Seri Teratai di Jalan Macalister di sini kini sudah 85 peratus siap dengan jangkaan serah projek pada 15 Julai ini.

Perkara tersebut diumumkan oleh Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir, Zairil Khir Johari ketika mengadakan satu lawatan ringkas ke kediaman berkenaan semalam.

Jelasnya, kerja-kerja naik taraf dan penambahbaikan yang dijalankan adalah dari segi mekanikal, awam, elektrik serta kawalan serangga dan anai-anai.

“Projek ini telah dimulakan sejurus peroleh tapak pada 14 Januari lalu dengan kontrak kerja selama 26 minggu bernilai RM1.050 juta.

“Antara skop kerja terlibat adalah menaik taraf semua tandas dan bilik mandi, jubin lantai dan dinding, keseluruhan dapur, menggantikan kertas dinding, menggantikan permaidani, membaik pulih lepaan dinding, polish serta varnish kerja-kerja kayu.

“Selain itu, kerja baik pulih dan mengecat siling, perabot dalaman, baik pulih kemasan kayu, menggilap lantai dan kerja-kerja rawatan anai-anai, adalah antara skop kerja yang memerlukan penelitian lebih,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah.

Difahamkan kerja-kerja menaik taraf elektrik turut dilaksanakan antaranya pendawaian semula, papan agihan, naik taraf tiang lampu, pemasangan penghawa dingin dan lain-lain lagi.

Mengulas lanjut mengenai perkembangan terkini projek berkenaan, Zairil memaklumkan bahawa projek berkenaan boleh diserahkan pada 15 Julai ini seperti yang termaktub dalam kontrak.

“Kerja naik taraf yang dijalankan mengikut jadual seperti mana kontrak yang dikeluarkan, ini bermakna CM (Ketua Menteri) boleh pindah masuk pada hujung bulan ini,” ujarnya lanjut.

Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD