Nasi Kandar Nurul kekal resipi asli arwah bapa

Admin
whatsapp image 2024 07 01 at 13.00.35 (1)

PADA tahun 1997, ayahnya Shaihu Mahmood dan ibunya, Hasnah Nayan mencipta legasi perniagaan keluarga dengan membuka kedai Nasi Kandar Simpang Ampat dekat Bukit Tambun, yang merupakan gerai nasi kandar pertama wujud di kawasan tersebut ketika itu.

Selepas 27 tahun berlalu, kini NURUL NADYA SHAIHU yang merupakan anak keempat daripada enam adik-beradik mengambil keputusan membangunkan perniagaan nasi kandar sendiri dekat Jalan Bukit Panchor, Nibong Tebal.

whatsapp image 2024 07 01 at 13.00.37 (1)
Nurul Nadya Shaihu.

Ketika ditemui Buletin Mutiara, Nurul Nadya, 38, yang merupakan anak jati Simpang Ampat memberitahu bahawa perniagaan di bawah jenama Nasi Kandar Nurul itu mula beroperasi pada tahun 2018.

“Ayah saya berhijrah ke Malaysia sejak beliau berumur empat tahun lagi dan membesar serta bersekolah di negara ini.

“Pada mulanya, ayah hanya bekerja sebagai ‘tukang cedok nasi’ di sebuah gerai nasi kandar dekat Bagan, Butterworth, dan dari situlah beliau mula mempelajari resipi masakan nasi kandar.

“Ada beberapa pihak yang berminat sehingga sanggup menawarkan bayaran bagi mendapatkan resipi ciptaan ayah, tetapi beliau tidak berminat kerana mahu mewarisinya kepada keluarga.

“Ini kerana pada masa itu, ayah sudah mula memasang impian untuk meningkatkan taraf hidup keluarga, dan beliau membuat keputusan membuka kedai Nasi Kandar Simpang Ampat sebagaimana yang ada pada hari ini,” katanya memulakan bicara.

Nurul Nadya berkata, selepas menamatkan alam persekolahan dia dan tiga lagi kakaknya mula membantu ayah dan ibunya menguruskan Kedai Nasi Kandar Simpang Ampat sehinggalah ayahnya meninggal dunia pada tahun 2015.

“Selepas beberapa tahun menimba pengalaman daripada ayah dan ibu, ketiga-tiga kakak saya kemudian mengambil keputusan membuka perniagaan nasi kandar mereka sendiri di sekitar Nibong Tebal.

“Saya sendiri sejak tahun 2018 telah memulakan perniagaan ini selepas berjaya menyewa tapak perniagaan di sini yang merupakan premis milik Pejabat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS),” jelasnya yang merupakan ibu kepada empat cahaya mata.

whatsapp image 2024 07 01 at 13.00.40

whatsapp image 2024 07 01 at 13.00.37

whatsapp image 2024 07 01 at 13.00.36

whatsapp image 2024 07 01 at 13.00.35

whatsapp image 2024 07 01 at 13.00.39

whatsapp image 2024 07 01 at 13.00.35 (2)

Nurul Nadya berkata, walaupun memulakan perniagaan di bawah jenama berbeza tetapi cita rasa masakan yang ditawarkan kepada pelanggan adalah menggunakan resipi daripada arwah ayahnya.

“Semasa memulakan perniagaan, saya sendiri yang memasak semua jenis menu di sini sambil dibantu oleh suami dan anak lelaki sulung.

“Saya memang menggunakan resipi arwah ayah sepenuhnya dalam menghasilkan juadah tetapi ada juga beberapa jenis lauk yang saya olah sendiri bagi menyesuaikan dengan cita rasa pelanggan tempatan di sini.

“Contohnya, masakan ayam madu dan ayam bawang yang mana resipi asasnya adalah daripada arwah ayah tetapi saya olah sedikit bagi memenuhi cita rasa pelanggan.

“Sebab itulah, ada juga pelanggan beritahu bahawa rasa nasi kandar di sini sama dengan Nasi Kandar Simpang Ampat,” katanya sambil menambah bahawa kini suaminya Mohd. Lutfi Johari, 34, yang mengambil alih tanggungjawab memasak.

Ditanya mengenai keistimewaan masakan Nasi Kandar Nurul berbanding kedai nasi kandar yang lain, Nurul Nadya memberitahu bahawa cita rasa asli yang diwarisi daripada ayahnya menjadi kekuatan bagi perniagaan yang diusahakannya kini.

“Walaupun perniagaan ini boleh dikatakan sebagai baru tetapi jenama kami cepat dikenali kerana cita rasa masih kekal, malah bahan-bahan mentah juga yang digunakan di sini sama dengan Restoran Nasi Kandar Simpang Ampat.

“Kebanyakan pelanggan yang datang pula terdiri daripada penjawat awam dan pekerja-pekerja kilang di kawasan berdekatan, saya juga ada terima tempatan daripada pelanggan di kawasan berdekatan.

“Dari segi pemasaran, saya tidak menggunakan apa-apa platform melainkan promosi dari ‘mulut ke mulut’ daripada pelanggan yang pernah mencuba makanan di sini,” katanya sambil menekankan bahawa kualiti bahan-bahan yang digunakan dalam masakan adalah amat dititikberatkan.

Tambahnya, kedai Nasi Kandar Nurul beroperasi setiap hari Isnin hingga Jumaat dari jam 10 pagi hingga 3 petang.

Menyentuh mengenai cabaran kenaikan kos bahan mentah, Nurul Nadya berkata perniagaan Nurul Nasi Kandar juga tidak terkecuali.

“Dengan kenaikan harga pelbagai jenis barangan dan perkhidmatan kini, kami sebagai majikan memang cukup terkesan terutamanya dari segi hendak mengekalkan harga dan cita rasa.

“Walaupun harga barang naik tetapi kami tidak boleh menaikkan harga makanan atau mengurangkan penggunaan bahan-bhan sesuka hati kerana pelanggan akan ‘lari’.

“Jadi kami akan pastikan sekiranya harga makanan terpaksa dinaikkan, maka kami akan menaikkannya sedikit sahaja kira-kira 10 sen atau 20 sen bagi setiap hidangan untuk memastikan cita rasa masakan dapat dikekalkan.

“Dengan cara ini pelanggan tidak akan rasa terlalu terbeban.

“Kami juga membuat pemerhatian terhadap permintaan pelanggan yang mana sekiranya masakan itu mendapat sambutan maka kami akan meningkatkan kuantiti bagi masakan tersebut.

“Masakan yang dilihat kurang mendapat perminataan pula kami akan kurangkan kuantiti bagi mengelakkan kerugian selain memastikan cita rasa dapat dikekalkan,” jelasnya lanjut.

Bercakap mengenai perancangan masa depan, Nurul Nadya memberitahu bahawa dia dan suami mempunyai impian untuk membuka premis perniagaan di sebuah bangunan yang dilengkapi dengan pelbagai kemudahan demi keselesaan pelanggan.

“Sekarang keluasan kedai ini tidak mampu untuk menampung jumlah pelanggan yang semakin ramai, jadi kalau ada rezeki saya hendak sewa bangunan untuk mengembangkan lagi perniagaan.

“Tambahan pula, anak sulung saya juga menunjukkan minat untuk mewarisi perniagaan ini dan saya memang sedang melatih dia mengenai selok-belok perniagaan supaya dia dapat meneruskannya pada masa akan datang,” katanya menutup bicara.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : SITI NURATIKAH RAHMAT