GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri akan terus membela nasib semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan jantina Pulau Pinang termasuk kira-kira 200 penduduk Kampung Jalan Pokok Asam, Jelutong yang menghadapi perintah mahkamah paksa pindah.
Dalam pada itu, Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif khas untuk mengadakan perbincangan antara dua pihak membabitkan penduduk serta pemaju dan ia membawa hasil apabila pemaju bersetuju menangguhkan pelaksanaan perintah mahkamah sepanjang tiga bulan iaitu selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri.
Selain mencari jalan penyelesaian yang menang-menang kepada kedua-dua pihak, perbincangan tersebut juga bertujuan membantu para penduduk memperoleh jumlah pampasan setimpal dan bukannya RM10,000 (selepas kalah dalam perbicaraan) yang ditawarkan pihak pemaju kini.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, fakta yang perlu ditekankan berhubung isu ini adalah tanah tersebut bukan milik Kerajaan Negeri sebaliknya ia adalah milik swasta (pemaju). Kerajaan Negeri hanya mengetahui isu ini sehingga perintah mahkamah dikeluarkan pada bulan Julai 2010. Malah, kes ini adalah dari zaman Barisan Nasional (BN) lagi.
”Bukan Kerajaan Negeri yang minta para penduduk berpindah, tetapi pemaju berbuat demikian dengan adanya perintah mahkamah. Kerajaan Negeri tidak boleh mengambil apa-apa tindakan yang melanggari perintah mahkamah kerana ia akan dianggap sebagai kesalahan menghina mahkamah.
”Walaupun begitu, Kerajaan Negeri terus berusaha membantu penduduk dengan meminta pemaju menangguhkan perintah mahkamah selama tiga bulan lagi sehingga 13 Oktober 2010. ”Cooling off period” ini adalah bagi membolehkan perbincangan dijalankan,’’ katanya di sini baru-baru ini.
Guan Eng memberitahu, berhubung aspek pembangunan, Kerajaan Negeri mensyaratkan supaya semua pemaju menyelesaikan masalah setinggan secara munasabah dan setimpal terlebih dahulu sebelum sesebuah projek dijalankan. Sekiranya pihak pemaju gagal menyelesaikan isu utama yang diwajibkan, pihak terbabit sama sekali tidak dibenarkan melakukan sebarang kemajuan. Bagaimanapun, pemaju masih ada hak untuk mengusir penduduk di kawasan-kawasan berkaitan berdasarkan perintah mahkamah.
”Perlu ditegaskan bahawa Kerajaan Negeri lazimnya merasakan bahawa RM10,000 yang ditawarkan oleh pemaju adalah tidak munasabah. Mereka (pemaju) kena tawar lebih!
”Sekiranya mereka (pemaju) masih berdegil, Kerajaan Negeri sama sekali tidak akan membenarkan pihak terbabit membuat pembangunan termasuk di lokasi-lokasi lain selain Jelutong,’’ ujar beliau.
Tambahnya, sekiranya pemaju mengambil sikap agresif untuk mengusir penduduk dari lokasi tersebut, mereka (pemaju) tidak dibenarkan membina walaupun seketul batu di tapak berkenaan. Situasi penduduk diusir keluar dan tanah dibiarkan kosong kerana larangan pembangunan tidak akan menguntungkan sesiapa.
”Apabila situasi ini terjadi, semua pihak bakal mengalami kerugian. Sebab itulah, kita (Kerajaan Negeri) cuba menolong kedua-dua pihak melalui bual bicara,’’ jelas beliau.
Dalam pada itu, Guan Eng menjelaskan bahawa isu tersebut telah lama berlaku sejak di bawah pemerintahan BN sebelum ini. Apabila ia diungkit kini, Kerajaan Pakatan Rakyat (PR) pula yang dipersalahkan.
”Seperti yang saya selalu saya nyatakan, manusia pun dia, hantu pun dia!
”Sungguhpun isu ini bermula sejak pemerintahan BN, kita tidak lari, sebaliknya, kita akan terus berdepan dan menanganinya. Kejayaan pertama adalah menangguhkan perintah mahkamah sehingga tiga bulan. Dalam tempoh ini, adakah satu keluarga penduduk yang diusir keluar sebagaimana yang dilaporkan Utusan Malaysia (UM)?”, tegas Guan Eng. Mengapa tiada laporan mengenai nasib penduduk Kampung Melayu Tanjong Tokong yang juga bakal diusir di bawah pembangunan projek UDA, sebuah agensi Kerajaan Persekutuan oleh UM sebelum ini?