Nasib 23 keluarga yang diusir di Ladang Sungai Kechil kini terbela

Admin
img 20240615 wa0031

SUNGAI BAKAP – Nasib 23 keluarga di Ladang Sungai Kechil, Nibong Tebal kini terbela apabila kemelut tanah dan penempatan yang membelenggu mereka hampir 10 tahun akhirnya selesai.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa selepas ini, Kerajaan Negeri mengambil inisiatif untuk membangunkan sebuah projek perumahan yang lengkap serta teratur untuk menempatkan keluarga yang terlibat.

Menurut beliau, Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah membelanjakan RM5.13 juta bagi tujuan pengambilan tanah berkeluasan 6.1462 ekar tersebut di bawah Seksyen 4 dan Seksyen 8 Akta Pengambilan Tanah (APT) 1960.

“Sebelum itu, bagi tujuan pengambilan balik tanah berkaitan, jumlah award yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri kepada tuan tanah adalah berjumlah RM4.5 juta.

“Walau bagaimanapun, tuan tanah tidak berpuas hati dengan jumlah award daripada Pentadbir Tanah dan telah memfailkan kes ini di mahkamah.

“Keputusan mahkamah ke atas permohonan tersebut telah diperoleh pada 28 Julai 2022, dan Kerajaan Negeri diarahkan untuk membayar sebahagian daripada tuntutan yang dibuat berjumlah RM625,651.07 yang menjadikan nilai keseluruhan RM5.13 juta.

“Bayaran telah disempurnakan pada 5 April lalu,” katanya ketika mengadakan pertemuan dengan 23 penduduk yang terlibat dekat Ladang Sungai Kechil di sini sebentar tadi.

img 20240615 wa0026

img 20240615 wa0014

Turut hadir, Exco Kerajaan Tempatan, Pembangunan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye; Exco Perumahan dan Alam Sekitar, Dato’ Seri S. Sundarajoo; mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Bakap, Dato’ Dr. Amar Pritpal Abdullah dan wakil dari pejabat Daerah Seberang Perai Selatan (SPS).

Difahamkan, 23 penduduk yang terlibat merupakan keturunan bekas pekerja estet di Ladang Sungai Kechil.

Pada tahun 2016, mereka telah menerima notis pengosongan tanah dan pengambilan milikan kosong di atas Lot 10059, GRN 158668, Mukim 8, daerah SPS dalam tempoh sebulan daripada pemilik berkaitan.

Susulan itu, tuan tanah juga telah mendapatkan Notis Bailif (Pemilikan Kosong) bertarikh 29 September 2020 daripada Mahkamah Seksyen Butterworth untuk mengarahkan proses pengosongan oleh penduduk serta tiga kuil Hindu di atas tapak tersebut.

Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi berharap agar projek perumahan yang akan dibangunkan oleh Kerajaan Negeri dapat mengoptimumkan penggunaan tanah dengan perumahan yang lebih teratur dan ergonomik.

“Kerajaan Negeri juga akan menyediakan kemudahan infrastruktur dan fasiliti yang lebih baik serta mematuhi syarat-syarat Kebenaran Merancang oleh Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) serta juga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Justeru, saya berharap agar Ladang Sungai Kechil ini dapat dibangunkan dengan sebuah kawasan perumahan yang lebih selesa dan teratur sekali gus bagi mencapai hasrat Kerajaan Negeri untuk merumahkan rakyat khususnya keluarga yang menetap di atas tanah ini.

“Serentak itu, Kerajaan Negeri turut mengalu-alukan sebarang cadangan (sebelum Ogos 2024) daripada pelbagai pihak bagi pembangunan berkaitan,” ujarnya.

Sementara itu, Sundaarajoo menyatakan bahawa rumah yang akan dibina kelak bakal diserahkan secara percuma kepada 23 keluarga terlibat manakala baki akan dijual kepada pembeli-pembeli yang berminat.

“Sebarang keputusan hanya akan dimuktamadkan selepas selesai perbincangan dengan pelbagai pihak berkaitan,” ujarnya.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI
Video : SIEW CHIA EN