TASEK GELUGOR – Nasib malang dua keluarga, yang tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dijilat api mendapat perhatian daripada Zakat Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (Zakat MAINPP).
Yang Dipertua MAINPP, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid menziarahi mangsa yang terlibat dan menyerahkan bantuan tunai berjumlah RM8,000 bagi setiap keluarga.
Bercakap kepada Buletin Mutiara, Mohamad yang juga Timbalan Ketua Menteri I berkata bahawa bantuan tersebut adalah sebahagian daripada produk agihan Zakat MAINPP bagi mengurangkan beban yang ditanggung oleh keluarga berkenaan.
“Selepas penialian dibuat, maka kita mendapati bahawa mereka layak menerima bantuan bencana kebakaran berjumlah RM8,000 di bawah agihan Zakat MAINPP.
“Namun begitu, dalam mesyuarat baru-baru ini saya telah arahkan agar MAINPP mengkaji semula jumlah sumbangan maksimum yang perlu disalurkan kepada mangsa-mangsa kebakaran.
“Sekarang kita masih teruskan dengan jumlah RM8,000 untuk mangsa kebakaran dan RM2,000 kepada mangsa bencana,” katanya ketika ditemui selepas menyerahkan bantuan kepada mangsa kebakaran di sini pada 16 Januari 2025.
Turut serta Pengurus Besar Jabatan Operasi Agihan Zakat MAINPP, Ruslan Harun.
Salah seorang mangsa Mas Intan Shazzila Mansor, 40, ketika ditemui berkongsi kesedihan apabila rumah yang didiaminya sejak kecil telah musnah terbakar dalam kajadian malang yang berlaku pada 21 Disember lalu.
Menurutnya, semasa kejadian beliau dan emaknya keluar untuk membeli barangan keperluan sebelum menerima panggilan daripada jirannya kira-kira jam 4.30 petang bagi memaklumkan mengenai kejadian tersebut.
“Selepas mendapat panggilan, saya yang ketika itu berada di Teluk Ayer Tawar terus bergegas pulang ke rumah di Jalan Haji Murshid, Pekan Darat dan mendapati terdapat kepulan asap hitam berserta api yang marak telah membakar seluruh bahagian rumah.
“Semua barangan kami turut musnah dalam kebakaran, termasuklah semua dokumen penting juga gagal diselamatkan menyebabkan kami kini hanya tinggal sehelai sepinggang,” katanya sambil memberitahu bahawa kejadian tersebut telah menyebabkan kerugian kira-kira RM60,000.
Namun, Mas Intan Shazzila yang bekerja sebagai tukang masak di Pangkalan Udara Butterworth, bersyukur kerana kedua-dua anaknya yang berada di dalam rumah sempat keluar menyelamatkan diri ketika kebakaran tersebut berlaku.
“Semasa kejadian, kedua-dua anak saya yang berumur 15 dan 19 tahun berada di tingkat bawah di dalam rumah.
“Anak kedua saya berada di dalam tandas ketika itu menyederi kebakaran berlaku dan memaklumkan kepada kakaknya yang sedang berada di dalam bilik, sebelum kedua-duanya keluar menyelamatkan diri.
“Mereka turut meminta bantuan daripada jiran tetangga tetapi tidak ada apa-apa yang boleh dibuat kerana api sudah marak dan membakar seluruh bahagian rumah,” katanya yang merupakan seorang ibu tunggal.
Pada kesempatan itu, Mas Intah Shazzila menyampaikan penghargaan kepada Zakat MAINPP kerana menghulurkan sumbangan bagi meringankan beban beliau sekeluarga yang kini terpaksa menyewa di Wakaf An-Nur milik MAINPP.
“Syukur kerana Zakat MAINPP sudi menghulurkan bantuan, wang ini akan digunakan untuk membeli barangan keperluan di baru baru kami.
“Saya berhasrat untuk membina sebuah rumah baharu tetapi mungkin ti tempat lain dan amat berharap agar ada pihak yang boleh menghulurkan sumbangan bagi tujuan itu,” katanya.
Seorang lagi mangsa, Roshazalina Mat Salleh, 39, menceritakan detik cemas melihat api marak membakar keseluruhan kediamannya dekat Jalan Pekan Darat, Permatang Tok Gelam pada 14 Disember lalu.
Ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata kejadian berlaku kira-kira jam 2 petang ketika suaminya yang bekerja di sebuah kilang pulang untuk makan tengah hari.
“Kira-kira pukul 1 petang saya lihat suami pulang ke rumah tetapi dia tidak masuk ke dalam rumah seperti kebiasaannya dan membuat keputusan untuk makan tengah hari di kedai makan berhampiran.
“Selepas makan tengah hari, suami pulang semula ke rumah tetapi dia tidak perasan telah berlaku kebakaran kecil ketika itu dan dia kembali ke tempat kerja seperti biasa.
“Selepas beberapa minit, tiba-tiba kedengaran bunyi seakan-akan kayu terbakar dan disusuli dengan letupan gas menyebabkan rumah saya hangus terbakar dalam masa kurang 30 minit,” jelasnya.
Bercerita lanjut, Roshazalina berkata anak perempuan terselamat kerana ketika itu dia berada di rumah kakaknya yang juga terletak di kawasan kejiranan tersebut.
“Biasanya anak saya akan tidur pada waktu tengah hari tetapi pada hari kejadian dia tidak mahu tidur walaupun dipaksa dan mahu ke rumah emak saudaranya.
“Alhamdulillah, walaupun rumah kami musnah dan menyebabkan kami tinggal sehelai sepinggan tetapi Syukur anak dan suami saya selamat,” ujarnya.
Walau bagaimanapun, Roshazalina lega apabila nasib malang yang menimpa beliau dan keluarga mendapat perhatian daripada Zakat MAINPP.
“Bantuan ini dapat membantu meringankan beban kami sekeluarga dan wang ini kami akan gunakan untuk membeli barang-barang yang diperlukan di rumah baru nanti,” katanya yang kini sedang menumpang di rumah kakaknya.
Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS