TELUK BAHANG – Sifat keprihatinan Kerajaan Pakatan Rakyat tanpa mengira latar belakang dan etnik telah berjaya menyuntik erti keceriaan kepada dua warga emas yang selama ini hidup di dalam keadaan serba kekurangan di sini baru-baru ini.
Hasil inisiatif Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Teluk Bahang, Mohd. Shawal Ahmed dan Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Teluk Bahang, Mohd. Amin Nordin, dua buah kerusi roda hasil sumbangan Pusat Urus Zakat (PUZ) Pulau Pinang telah disumbangkan kepada kedua-dua warga emas berkenaan.
“Makcik berasa bersyukur yang teramat sangat. Walaupun makcik tidak dapat melihat kerusi roda yang disumbangkan, hanya Allah sahaja yang dapat membalas jasa dan budi Kerajaan Negeri,’’ kata Mariam Embi, 80, setelah menerima sumbangan sebuah kerusi roda berserta hamper barangan makanan daripada Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mansor Othman dan Speaker Dewan Udangan Negeri (DUN), Dato’ Abdul Halim Hussain di sini baru-baru ini.
Mariam yang tinggal berseorangan memberitahu, sebelum ini, tanpa kerusi roda, beliau menghadapi kesukaran untuk bergerak ke bilik air untuk mengambil air sembahyang.
“Disebabkan sakit tua, makcik dah tak boleh bangkit dan makan minum pun harap adik-beradik serta orang-orang kampung,’’ ujarnya sambil tersenyum lebar apabila dapat menyentuh kerusi roda disumbangkan.
Dalam pada itu, bagi pesakit diabetes, Bijan Din, 59, sumbangan tersebut sedikit sebanyak dapat meringankan beban ditanggung anak perempuannya.
“Sebelum kaki akak dipotong tiga bulan lalu, anak perempuan kakak (Salmiah Yusop, 36) yang merupakan ibu tunggal dapat menjalankan perniagaan menjual kuih secara kecil-kecilan di depan rumah.
“Selain menjaga makan minum kakak, Salmiah juga terpaksa menjaga anak perempuannya, 12, yang lumpuh seluruh badan sejak dilahirkan,’’ jelasnya.
Bijan memberitahu, dengan adanya kerusi roda tersebut, ia bukan hanya bakal memudahkan pergerakkan hariannya, malah, pada masa sama, ia turut memberi peluang kepada dirinya untuk membuat kerja-kerja rumah yang ringan termasuk menjaga cucu kesayangan beliau.
Sementara itu, selain penyampaian sumbangan kerusi roda, Mansor dan Abdul Halim turut menyampaikan sumbangan hamper dan baucer kepada 20 pelajar pintar yang memperoleh 5A ke atas di dalam peperiksaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Peperiksaan Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).