Nasib tiga beradik tercicir sekolah akibat kesempitan hidup dapat perhatian ADUN

BAGAN JERMAL – Nasib tiga adik-beradik yang tercicir daripada persekolahan akibat kesempitan hidup kini mendapat perhatian daripada Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Jermal, Soon Lip Chee.

Lip Chee berkata bahawa Tharmarhaja, 15, dan dua adiknya Haresh, 10, serta Yoshwin, 8, terpaksa berhenti sekolah sejak awal tahun ini kerana terlalu miskin selain menghadapi masalah pengangkutan.

T. Mogana Selvi menerima sumbangan wang tunai dan sebuah televisyen daripada ahli perniagaan, Datuk Golden beh Cheng Siong dan Datuk Tan Peng Aun.

“Saya telah menghubungi Jabatan Pedidikan Negeri Pulau Pinang (JPNPP) dan akan menghantar borang permohonan untuk membolehkan tiga kanak-kanak berkenaan kembali bersekolah secepat mungkin.

“Selain itu, pejabat saya juga akan menanggung segala kos persekolahan mereka termasuk pengangkutan, uniform, buku-buku rujukan, alat tulis, beg sekolah dan yuran tuisyen.

“Selaku ADUN kawasan, saya akan pastikan masa depan tiga kanak-kanak ini terjamin dengan sekurang-kurangnya mereka dapat menyambung persekolahan semula,” katanya kepada pemberita katika menghulurkan bantuan kepada keluarga berkenaan dekat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Ampang Jajar, di sini pagi tadi.

Tambah beliau lagi, pihaknya turut menyalurkan sumbangan berupa kelangkapan asas rumah berserta barangan makanan dan keperluan harian berserta wang tunai RM1,000 bagi meringankan beban keluarga berkenaan.

“Bantuan ini bukan disalurkan sekali sahaja sebaliknya kita akan tambah apa yang mereka perlukan terutamanya barangan makanan pada setiap minggu.

“Malah, keluarga ini juga menerima sumbangan peribadi daripada ahli perniagaan, Dato’ Golden Cheng Beh Siong dan Dato’ Tan Peng Aun masing-masing RM1,000 serta sebuah televisyen.

Soon Lip Chee menyampaikan sumbangan barangan makanan dan keperluan harian kepada keluarga T. Mogana Selvi.

“Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Ampang Jajar pula membantu dari segi pemasangan Astro,” jelasnya lagi sambil menambah bahawa keluarga berkenaan kini hanya bergantung hidup dengan bantuan RM400 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Justeru kata Lip Chee, sekiranya ada mana-mana individu atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang mahu menyalurkan bantuan kepada keluarga tersebut boleh hubungi beliau di talian 04-3310 163 atau 012-413 0362.

Dalam pada itu, ibu kepada tiga kanak-kanak berkenaan, T. Mogana Selvi, 39, menzahirkan penghagaan kepada Lip Chee dan pihak-pihak berkaitan atas sumbangan yang disalurkan.

“Apa yang penting sekarang adalah saya mahu anak-anak saya kembali bersekolah,” ujarnya ringkas.

Difahamkan, Mogana Selvi turut mempunyai seorang anak kurang upaya, Teyanayagi, 13, yang masih meneruskan pelajaran di PEKTAS Mak Mandin dengan menerima bantuan pengangkutan daripada pihak sekolah.

Oleh : SUNARTI YUSOFF

Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD