GEORGE TOWN – Golongan belia di Pulau Pinang perlu berani berdepan dengan masalah dan menerima nasihat serta bimbingan daripada pakar agar dapat menghadapi cabaran dengan lebih rasional.
Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata, bagi menyediakan belia yang lebih berdaya tahan dan mempunyai kekuatan minda, Perbadanan Pembangunan Belia Pulau Pinang (PYDC) hari ini melancarkan program khas Youth Coaching Clinic secara percuma.
Jelasnya, sesi coaching yang bertemakan ‘Coaching for High Performance’ tersebut akan dijalankan secara bersemuka one-to-one oleh 10 panel coach berpengalaman yang dilantik.
“Coaching Clinic ini memberi peluang kepada para belia di Pulau Pinang supaya mempelajari teknik-teknik meningkatkan kemahiran menyelesaikan masalah, mengurus tekanan hidup, berkomunikasi dengan lebih berkesan dan menerokai diri sendiri demi mencapai kekuatan diri melalui pembinaan minda.
“Bimbingan ini akan meningkatkan prestasi para belia daripada segi akademik, kerjaya dan kehidupan harian, malah ia sangat membantu ketika menghadapi kesukaran dan cabaran sekaligus membentuk sikap serta kelakuan yang lebih positif.
“Kita (Kerajaan Negeri) mahu lahirkan belia yang berani berdepan dengan cabaran dan masalah, jangan malu untuk mendapatkan khidmat sokongan serta bimbingan,” ujarnya pada sidang media pelancaran PYDC Youth Coaching Clinic sambil menyeru belia merebut peluang tersebut dan mendaftar.
Coaching Clinic tersebut akan diadakan sebanyak tiga sesi iaitu sesi 1 pada 25 Oktober 2020, sesi 2 (22 November 2020) dan sesi 3 (20 Disember 2020) bermula jam 9.30 hingga 12.30 tengah hari bertempat di pejabat PYDC dekat Whiteaways Arcade, Beach Street.
Hadir sama Pengurus Besar PYDC, Dr. Gwee Sai Ling; Mohd. Fauzi Nordin (Pengasas Centre of Strategic Human Resources Management); Tan Khee Kwong (Pengasas Wisdom Woods) dan barisan coach yang lain.
Individu yang berumur 15 hingga 35 tahun, warganegara Malaysia dan dilahirkan di Pulau Pinang atau warganegara yang bermastautin di Pulau Pinang sama ada bekerja ataupun belajar di negeri ini diseru untuk memohon.
Pendaftaran boleh dilakukan dengan mengimbas kod QR yang terpapar atau layarilah laman sesawang PYDC untuk membuat pendaftaran mulai hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Fauzi yang juga merupakan coach mengendalikan program tersebut menjelaskan bahawa program itu bukan sahaja tertumpu kepada belia yang ingin menyelesaikan masalah sebaliknya terbuka juga kepada golongan belia yang ingin meningkatkan diri dan bercita-cita besar.
“Sebenarnya coaching di luar negara telah berkembang pesat, coaching merupakan satu platform membangunkan belia negara agar boleh pergi lebih jauh dan hebat kerana mereka perlukan bimbingan untuk menyediakan diri berhadapan dengan masa depan yang kian mencabar kini,” jelas beliau.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut, sila hubungi Pegawai Eksektif Komunikasi PYDC, Ryan Joseph di talian 016- 428 1040.
Oleh : NORSHAHIDA YUSOFF
Gambar : CHAN KOK KUAN