National Training Week 2024, buka peluang latihan percuma dalam pelbagai bidang kemahiran

Admin
whatsapp image 2024 05 21 at 12.36.14

GEORGE TOWN – Penganjuran National Training Week (NTW) 2024 yang bakal diadakan pada 24 hingga 30 Jun 2024 merupakan kesinambungan kejayaan penganjuran NTW 2023 pada Mei tahun lalu.

Ketua Pegawai Kewangan HRD Corp., Mohamad Farizul Yahaya berkata, dengan mengekalkan matlamat yang sama untuk menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat dalam kalangan rakyat Malaysia, NTW 2024 menetapkan sasaran lebih besar tahun ini.

“Penganjuran NTW tahun ini, pihak kami meletakkan sasaran 200,000 pendaftaran seluruh negara dengan lebih 500 aktiviti dan acara berimpak tinggi serta 25,000 kursus latihan.

“(Penganjuran NTW) ini memberi peluang dan akses bukan sahaja kepada mereka yang sedang bekerja dalam pelbagai sektor malah turut melibatkan komuniti.

“Selain itu, kami juga ingin membantu meningkatkan kesedaran umum berhubung peri penting melengkapkan diri dengan kemahiran bagi memenuhi keperluan bakat dan industri di negara ini,” jelasnya.

whatsapp image 2024 05 21 at 12.36.13
SESI taklimat oleh delegasi HRD Corp. bersama-sama Ketua Menteri.

Mohamad Farizul berkata demikian pada sesi kunjungan hormat delegasi HRD Corp. ke atas Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar, sebentar tadi.

Mengiringi Mohamad Farizul ialah Ketua Pegawai Undang-Undang & Setiausaha Syarikat HRD Corp., Merle Fernandez; Naib Presiden Kanan Operasi Serantau HRD Corp., Muhamad Hafez Kamaruddin; Ketua Wilayah Utara HRD Corp., V. Suraindran dan Ketua Penglibatan Pihak Berkepentingan Wilayah Utara HRD Corp., Puteri Simaa Megat Ismail.

Mengulas mengenai matlamat HRD Corp. menganjurkan NTW, Mohamad Farizul memberitahu bahawa pihaknya memfokuskan untuk memberi akses peluang pembelajaran dan pembangunan kendiri secara percuma.

“Menerusi penganjuran NTW, pelbagai aktiviti melibatkan latihan, bimbingan khusus dan memudah cara sama ada secara dalam talian, fizikal mahupun hibrid.

“Pihak kami amat berharap penganjuran NTW akan memberi impak kepada semua termasuk pemegang taruh yang turut mengambil bahagian dalam acara selama seminggu itu,” katanya sambil menzahirkan penghargaan kepada Kon Yeow serta pimpinan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang terus memberi sokongan.

Dalam pada itu, Kon Yeow memaklumkan bahawa latihan dan pembangunan pekerja adalah penting sama ada melalui proses peningkatan kemahiran dan ilmu pengetahuan atau melalui pengalaman.

“Pulau Pinang unik kerana mempunyai pelbagai bidang tujahan (niche area) yang mana pembangunan modal insan tempatan amat dititikberatkan.

“Bukan sahaja berupaya menarik masuk pelaburan tetapi di Pulau Pinang juga, kita berjaya menyediakan peluang pekerjaan maka adalah mustahak untuk mempunyai modal insan yang berkemahiran.

“Malah, modal insan yang mempunyai set kemahiran tertentu akan mampu meningkatkan peranan, prestasi dan produktiviti,” ujarnya yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomi & Tanah dan Komunikasi.

 

Oleh : AINUL WARDAH SOHILLI
Gambar : LAW SUUN TING