Negara berdepan tempoh getir yang memerlukan pengorbanan kita semua – Kon Yeow

Admin

GEORGE TOWN – Peningkatan kes baru jangkitan COVID-19 yang hampir mencecah 5,000 kes telah meletakkan Malaysia termasuklah Pulau Pinang dalam tempoh yang agak getir mutakhir ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa keadaan itu sekaligus menuntut pengorbanan semua pihak untuk membantu mengurangkan kesan penularan pandemik yang melanda negara.

“Baru petang ini, Menteri Kanan (Pertahanan) mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan tiga daerah di Pulau Pinang iaitu Daerah Seberang Perai Tengah, Daerah Seberang Perai Selatan dan Daerah Timur Laut.

Ketua Menteri meninjau keadaan Masjid Alimshah Welay yang memerlukan penaiktarafan.

“Daerah Barat Daya pula hanya melibatkan Mukim 12 manakala Daerah Seberang Perai Utara pula adalah Bandar Butterworth dan Mukim 14.

“Justeru, adalah diharapkan agar rakyat di negeri ini dapat memberikan perhatian kepada pengumuman seterusnya berkaitan prosedur operasi standard (SOP) yang dijangka lebih ketat bagi kawasan yang diletakkan di bawah PKP,” ucapnya dalam majlis berbuka puasa anjuran kariah Masjid Alimshah Waley dekat sini sebentar tadi.

Hadir sama, Pengerusi Masjid Alimshah Waley, Idris Salam; Imam Masjid Alimshah Waley, Mohammad Fadzil Alias serta barisan jawatankuasa masjid.

Dalam pada itu, Kon Yeow turut memaklumkan bahawa Kerajaan Negeri akan meneliti permohonan pihak Masjid Alimshah Waley untuk mendapatkan peruntukan bagi menaik taraf dan menambah satu lagi tingkat di atas masjid berkenaan.

Majlis berbuka puasa dalam keadaan penuh sederhana.

“Kita akan teliti permohonan ini dan akan menyalurkan peruntukan yang sewajarnya kepada pihak masjid,” ulasnya.

Dalam ucapan sama, beliau turut memuji sikap prihatin khariah masjid yang sentiasa memberi perhatian serta mengambil tindakan sewajarnya untuk membantu golongan memerlukan di kawasan terlibat.

“Melalui inisiatif zakat, saya dimaklumkan bahawa seramai 10 keluarga kurang mampu serta ibu tunggal telah terpilih untuk menerima bantuan bernilai RM300 setiap seorang dan enam fakir miskin akan turut menerima bantuan RM150 seorang,” jelasnya.

Terdahulu, Mohamad Fadzil memberitahu bahawa cadangan untuk menaik taraf masjid berkenaan dibuat selepas mengambil kira bilangan jemaah yang semakin meningkat kini.

“Limpahan jemaah ketika ini adalah melebihi kapasiti dan ruang masjid sehingga Jawatankuasa Khariah terpaksa mencari alternatif lain dengan menyediakan tikar di atas jalan masuk ke pangsapuri dan ruang-ruang terbuka di sekeliling pangsapuri.

“Walaupun tambahan satu tingkat hanya mampu menampung sebilangan jemaah yang hadir, tetapi ia adalah memadai bagi kami jika keselesaan serta keselamatan mereka terjamin,” katanya.

Oleh : SUNARTI YISOFF
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD
Video : CHAN KOK KUAN