Negeri 100% lebih baik berbanding pentadbiran dulu – KM

Admin

BAYAN BARU – Hasil usahasama Perbadanan Pembangunan Negeri Pulau Pinang (Penang Development Corporation – PDC) dan Penang Institute (PI), sebuah naskhah buku bersejarah bagi meraikan pencapaian dan kegemilangan Pulau Pinang selama 40 tahun dalam lapangan industri berjaya dilancarkan di sini baru-baru ini.

Buku ‘40 years of Penang Industrialisation Building Penang, Leading Malaysia’ dilancarkan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng adalah sebagai tanda pencapaian dan pengiktirafan diterima Pulau Pinang sebagai sebuah negeri pengindustrian terkemuka dunia bermula ketika di bawah pentadbiran mantan Ketua Menteri, Tun Dr. Lim Chong Eu.

“Malah sehingga ke hari ini, Kerajaan Negeri masih gigih meneruskan usaha dalam mempromosikan kegemilangan dan kecemerlangan
Pulau Pinang sebagai sebuah negeri berasaskan industri.

“Kita (Kerajaan Negeri) mensasarkan kecemerlangan syarikat-syarikat yang berpotensi ke arah pembangunan dan penyelidikan terutama dalam bidang sains dan teknologi,” ucapnya pada Majlis Pelancaran Buku Bersejarah ‘40 years of Penang Industrialisation – Building Penang, Leading Malaysia’ di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar; Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Farizan Darus; Pegawai Kewangan Negeri, Datuk Mokhtar Jait dan Ketua Pegawai Eksekutif PI, Zairil Khir Johari.

Tambah Guan Eng, Kerajaan Negeri juga giat memupuk dan menyuburkan bakat serta tenaga kerja yang komprehensif serta berdaya saing untuk samasama menjadikan Pulau Pinang negeri yang paling sesuai didiami.

“Pulau Pinang telah berjaya menarik nilai pelaburan RM36.1 bilion antara tahun 2008-2012 berbanding lima tahun sebelumnya hanya RM18.7  bilion (2003-2008).

“Hal ini sekaligus menjadi penanda aras pencapaian pentadbiran Pulau Pinang di bawah Pakatan Rakyat (PR) adalah 100 peratus lebih baik berbanding pentadbiran terdahulu,’’ tegas beliau.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan bahawa Pulau Pinang optimistik dalam melakar kegemilangan landskap ekonomi Pulau Pinang sejak 2008.

“Terbukti, buat pertama kali dalam sejarah, Pulau Pinang mencatat jumlah pelaburan tertinggi pada 2010 iaitu RM12.1 bilion, menyumbang 28 peratus Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia.

“Pembinaan taman perindustrian berteknologi tinggi di Batu Kawan yang dijangka siap menjelang 2030 juga bakal menjadikan Pulau Pinang teraju ekonomi unggul di Malaysia,” jelasnya.