Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF
GEORGE TOWN – Pulau Pinang ketika ini merupakan hab utama pasaran cenderahati bagi negeri-negeri di kawasan utara dan mempunyai potensi menjadi hab kedua sebagai pengeluar s e r t a p embekal barangan cenderahati dan hadiah selepas Kuala Lumpur.
Presiden Persatuan Usahawan Cenderahati dan Hadiah Malaysia (MGPA), Alan Ong berkata, industri tersebut semakin berkembang dan mendapat permintaan.
“Industri ini bukan saja menjadi salah satu sektor yang penting dalam ekonomi Malaysia, tetapi menyediakan banyak peluang pekerjaan dan kelebihan terutama dalam segi reka cipta serta kreativiti pereka-pereka muda dalam menghasilkan produk-produk cenderahati menepati kehendak semasa pasaran.
“ Bagi meneroka dan menjadikan Asia Tenggara sebuah destinasi popular cenderahati, MGPA turut bekerjasama dengan rakan perniagaan di Thailand dan Singapura,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Pelancaran Pameran Cenderahati , Hadiah dan barangan Pejabat Pulau Pinang 2012 buat tahun kedua di Kompleks Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang (PISA) di sini baru-baru ini.
Pameran tersebut berjaya menarik lebih 70 syarikat pembekal dan pengedar dari seluruh negara.
Dalam pada itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang hadir merasmikan pameran tersebut berkata, pemacu utama pertumbuhan adalah modal insan, persekitaran perniagaan yang dinamik, mobiliti modal serta keterbukaan kepada perdagangan dan pelaburan langsung asing.
“Walau bagaimanapun, dalam industri ini, saya percaya ia bijak untuk mengeksploitasi dan menggunakan sepenuhnya bahan-bahan tempatan serta bakat manusia untuk menghasil dan menampilkan hadiah lebih kreatif serta inovatif.
“ Kerajaan juga perlu memainkan peranan dengan mewujudkan platform bagi Perindustrian Kecil dan Sederhana ( PKS ) untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan di pentas dunia, padamasa yang sama, menawarkan bantuan fisikal yang terdiri daripada geran pinjaman mudah,” ujarnya.
Hadir sama, Pengarah Urusan Penexpo Events Sdn. Bhd., Francis Wong.