Negeri promosi nilai kebudayaan pelbagai etnik

JODOH… Hampir 5,000 pengunjung membanjiri Padang Kota Lama di sini bagi memeriahkan sambutan Chap Goh Meh yang juga menandakan hari ke-15 atau hari terakhir sambutan Tahun Baru Cina bagi tahun ini.

Walaupun begitu, Chap Goh Meh lebih dikenali sebagai Hari Kekasih bagi masyarakat berketurunan Cina yang mana si gadis akan membaling limau ke dalam laut sebagai doa mendapat pasangan hidup masing-masing.

Sebagai negeri yang kaya dengan warisan, penganjuran sambutan Chap Goh Meh di Pulau Pinang adalah meriah sekali oleh pelbagai lapisan masyarakat dan keturunan di sini.

Hadir memeriahkan sambutan tersebut adalah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng. Exco Pembangunan Pelancongan, Law Heng Kiang, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dan Presiden Penang Chinese Chambers of Commerce, Tan Sri Datuk Tan Kok Ping.

Guan Eng ketika berucap menyatakan bahawa Pulau Pinang ingin menjadi peneraju serta contoh terbaik dalam mempamer dan mempromosikan nilai kebudayaan pelbagai kaum yang wujud di Malaysia.

“Keunikan dan keharmonian yang ada di Pulau Pinang menarik minat ramai pelancong asing ke sini.

“Malah, juga telah dinamakan sebagai Destinasi Pelancongan yang Perlu Dilawati pada tahun 2014 oleh akhbar The Guardian (United Kingdom) dan diiktiraf sebagai Destinasi Makanan Terbaik Di Dunia oleh majalah Lonely Planet,” ujarnya di sini baru-baru ini.