Negeri tidak lagi dikenali buruh bergaji rendah – KM

Oleh: NORSHAHIDA YUSOFF


GEORGE TOWN – Pulau Pinang kini tidak lagi hanya dikenali sebagai buruh bergaji rendah, tetapi mempunyai teknologi canggih dengan jenama terkemuka seperti Intel, Motorola, Sony, Dell, Honeywell dan National Instruments.

Kenyataan tersebut dinyatakan Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika merasmikan Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Ke-8 anjuran The Asian Strategy & Leadership Institute (ASLI) bertemakan, Asia Dalam Pertumbuhan Baru Ekonomi Global Yang Mampan dan Pemacu Transformasi di sini baru-baru ini.

“Contohnya, seperti Intel telah menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi dan aktiviti penyelidikan, reka bentuk dan pembangunan buat produk mereka.

“Manakala, Singapura yang berteraskan pembuatan aeroangkasa juga telah membuka kemudahan di Pulau Pinang bagi menghasilkan komponen bagi industri penerbangan dan aeroangkasa.

“Atas sebab-sebab itulah, Pulau Pinang berjaya mencapai nombor satu dalam pelaburan untuk pertama kalinya pada tahun 2010 dan diikuti pada 2011 dengan jumlah pelaburan langsung asing dicapai dalam tempoh dua tahun sebanyak 28 peratus daripada jumlah keseluruhan negara bagi sebuah negeri yang hanya membentuk sekitar 6 peratus daripada keseluruhan penduduk negara ini,” katanya.

Menurut Guan Eng, modal insan atau bakat, bukan sahaja perlu melatih pekerja yang baik, malah juga perlu melatih pencipta dan pemikir.

“Itulah satu-satunya cara untuk memastikan bahawa kita mampu untuk menyediakan pekerja berpengetahuan diperlukan, yang akan menjadi batu hampar kepada ekonomi berpengetahuan baru,” ujarnya.

Sidang Kemuncak Ekonomi Asia Ke-8 yang pertama kali dianjurkan di Pulau Pinang dengan kerjasama Penang Institute berjaya mengumpulkan bersama-sama agensi kerajaan, perniagaan, akademik dan para pemikir bagi membincangkan cabaran dihadapi dalam ekonomi Asia sejak beberapa tahun lalu.

Hadir sama, Pengarah ASLI, Puan Sri Susan Cheah dan Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Zairil Khir Johari.

SRI Susan Cheah.
SRI Susan Cheah.