Nelayan berlesen sanggah dakwaan Penang Tolak Tambak

img 1627 MOHAMAD Long memberitahu rata-rata nelayan pantai Teluk Kumbar masih mampu menangkap hasil laut seperti biasa dalam 1 batu nautika dari gigi pantai di sini sungguh pun semasa keadaan perairan sedikit berselut beku.

KEWUJUDAN selut terlalu banyak sepanjang persisir pantai Sungai Batu yang dikaitkan dengan projek mega penambakan laut di perairan selatan pulau hatta menjejaskan pendapatan nelayan setempat ketika ini, seperti didakwa oleh pertubuhan Penang Tolak Tambak, sebenarnya tidak mencerminkan keadaan sebenar yang dialami nelayan berdaftar di negeri ini.

img 1625
HARIS Abdullah

Lebih 40 tahun menjadi nelayan berlesen, Haris Abdullah, 64 berkata kehadiran selut di persisir pantai dalam tempoh tertentu adalah fenomena alam semula jadi sekian lama, dan tidak seperti yang digambarkan oleh jurucakap Penang Tolak Tambak.

“Selut yang wujud di persisir pantai ini ikut musim, masa (angin) musim Barat (Daya) dan Selatan, selut mencair sebab ada ombak; kalau musim Utara dia (selut) membeku kerana tiada ombak langsung selama tiga bulan.

“Macam sekarang ini, angin monsun Barat Daya secara semula jadi akan mencairkan selut; walaupun kadang-kadang air laut busuk tetapi tidak menjejaskan kehidupan laut,” jelasnya kepada Buletin Mutiara di Teluk Kumbar pada 6 September 2024.

img 1618
MOHAMAD Long

Mengaku selut di kawasan perairan pantai pada musim tertentu memang wujud sekian lama di sini, Mohamad Long, 67, berkata sehingga kini hasil tangkapan hariannya meningkat serta tidak terjejas pun seperti didakwa jurucakap Penang Tolak Tambak.

“Pernah suatu masa – pada bulan lepas – harga borong sekilo udang RM50 bagi sekilogram, tetapi sekarang RM46 (sekilogram) kerana lambakan hasil tangkapan.

“Kalau selut banyak sangat sampai menjejas hasil tangkapan nelayan, kenapa berlaku lambakan hasil tangkapan udang sampai harga jatuh sekarang,” tanya beliau.

Di samping itu, beliau memberitahu bahawa purata hasil tangkapan udang setiap hari antara 14 kilogram (kg) hingga 15 kg.

img 1622
SARONI Hasan

Seorang lagi nelayan berlesen, Saroni Hasan, 74, berkata di sebalik projek PSR yang kini dikenali sebagai Silicon Island, rata-rata nelayan berlesen dan tidak berlesen, tekong dan awak-awak masing-masing mendapat pelbagai faedah daripada Kerajaan Negeri melalui firma subsidiarinya, Penang Infrastructure Corporation (PIC) Sdn. Bhd..

Menerusi Skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP), beliau berkata penerima menerima pelbagai ‘faedah’ dalam bentuk bot, enjin bot, pukat, penarik pukat automatik dan duit tunai yang keseluruhannya bernilai RM100,000 seorang.

“Kalau ada projek tambak laut sebegini di seluruh Malaysia, nelayan tidak pernah dapat seperti yang Kerajaan Negeri beri kepada nelayan-nelayan berdaftar di Pulau Pinang.

“Masa projek tambak laut di Tanjong Tokong dahulu pun, nelayan tidak mendapat pampasan sebaik mereka yang dapat pampasan bagi projek ini.

“Apa kami minta, semua dapat (seperti) sampan, enjin 90 (kuasa kuda), ‘robot’ (penarik pukat automatik), sonar, pukat (berharga RM1,000 seunit) dan siap dapat duit pampasan lagi (yang mana) kesemuanya bernilai lebih RM100,000.

“Dari Permatang (Damar Laut) sampai Gertak Sanggul, ada lebih 800 nelayan berlesen (877 nelayan yang berdaftar); bagi setiap bot satu tekong dan satu awak-awak pun dapat (pampasan) RM12,600,” jelasnya lagi.

img 1620
ISMAIL Long

Sehubungan itu, nelayan, Ismail Long, 70, merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang kerana setakat ini menyalurkan sebanyak RM10,079,390 bayaran ex-gratia ke akaun nelayan yang berdaftar, di bawah SIMP.

“Bagi saya, beberapa isu yang dibangkitkan oleh kumpulan terbabit (Penang Tolak Tambak) adalah tidak benar, hanya menjejaskan pandangan orang ramai terhadap nelayan berlesen terutama di Teluk Kumbar sendiri,” katanya.

img 1621
MOHD. Nasarudin Sutan

Pada hujung pertemuan dengan nelayan-nelayan berlesen di sini pada pagi tadi, Timbalan Pengerusi Pertubuhan Lestari Alam Sekitar Pulau Pinang (Anak Pinang), Mohd. Nasarudin Sutan, 59, menasihatkan kepada jurucakap kumpulan tersebut supaya menggarap isu teras yang lebih bermanfaat kepada agenda pembangunan dan rakyat termasuk nelayan setempat.

“Semoga kita mendapat maklum balas yang sahih tentang isu sebenar yang dihadapi (oleh nelayan setempat), sekarang.

“Segala tohmahan (Penang Tolak Tambak) yang konon-kononnya menjejas pendapatan nelayan, kami di sini (Teluk Kumbar) ingin menasihatkan supaya jangan jadikan nelayan sebenar dan ada berlesen sebagai kambing hitam,” nasihatnya lagi.

Sebagai rekod, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek ‘Silicon Island’ di Pulau Pinang mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang pada 21 Julai 2023.

Kerja-kerja tanah bagi projek Silicon Island dilaksanakan setelah kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek tersebut beserta dengan 71 syarat berwajib diperoleh.

END