BAYAN LEPAS – Nelayan di kawasan Projek Tambakan Pulau Pinang Selatan (PSR) yang layak bakal menerima bot gentian kaca berukuran 27 kaki yang lebih moden, berkapasiti tinggi dan selamat mulai hujung bulan Julai ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Penang Infrastructure Corporation (PIC), Dato’ Seri Farizan Darus berkata, kerja-kerja pembuatan bot telah bermula di bawah skim Pelan Pengurusan Impak Sosial (SIMP) yang dirangka khas untuk nelayan yang terlibat dalam pembangunan PSR.
Kerajaan Negeri melantik syarikat tempatan untuk membina bot nelayan.
“Kami menyasar untuk menyiapkan beberapa bot dalam masa terdekat dan memulakan penyerahan secara berfasa kepada kumpulan penerima yang pertama pada bulan depan,” ujarnya menerusi siaran media bertarikh 22 Jun 2022.
Difahamkan, kumpulan penerima pertama terdiri daripada 20 orang nelayan yang telah mendaftarkan nama mereka dengan Kerajaan Negeri untuk menerima manfaat SIMP.
Di bawah SIMP, Farizan memaklumkan bahawa pemilik bot atau tekong yang berpengkalan dari unit-unit nelayan Permatang Tepi Laut, Gertak Sanggul, Sungai Batu dan Teluk Kumbar (Tahap 1) layak mendapat bot dan enjin baru.
“Berdasarkan rekod Jabatan Perikanan Pulau Pinang, jumlah tekong berdaftar dari empat unit nelayan tersebut adalah seramai 315 orang,” katanya.
Bot yang lebih baik
Dalam pada itu, pakar teknikal daripada syarikat perunding marin, Aaira Marine Consultants & Services Sdn. Bhd. (Aaira Marine), Mohd. Amirrudin Mohd. Zainudin berkata, bot yang akan diberi kepada nelayan yang layak telah direka bentuk oleh syarikatnya.
“Malah, Aaira Marine juga telah mengaudit keadaan bot lama nelayan-nelayan PSR yang telah mendaftarkan nama mereka untuk skim SIMP pada tahun lalu.
“Hasil pemeriksaan tersebut telah mendapati kebanyakan bot yang sedia ada itu sudah usang dan kurang selamat untuk digunakan.
“Bot nelayan yang baru dibina dengan menggunakan gentian kaca (fibreglass) yang ditambah dengan foam di bawah badan kapal (hull).
“Penggunaan bahan gentian kaca sepenuhnya dalam pembuatan bot akan menjadikan bot lebih ringan.
Apabila lebih ringan, bot itu akan dapat bergerak dengan pantas dan menjimatkan minyak.
“Bot itu juga akan lebih tahan dan kurang memerlukan penyelenggaraan berbanding bot yang dibuat dengan kayu yang akan reput setelah beberapa tahun.
“Selain itu, kami juga mengesyorkan penggunaan PU composite honeycomb yang lebih ringan dan tahan lasak,” jelasnya.
Mengulas lanjut, Mohd. Amiruddin yang berkepakaran dalam bidang seni bina dan pembinaan kapal juga memberitahu bahawa reka bentuk bot yang disediakan adalah menepati keperluan nelayan kawasan PSR.
Aaira Marine telah melalui beberapa sesi perbincangan dengan nelayan untuk memuktamadkan reka bentuk bot tersebut.
“Kami mahu memastikan nelayan mendapat reka bentuk bot yang terbaik untuk keperluan mereka.
“Pada masa ini, tidak banyak bot nelayan di Malaysia yang menepati piawaian pembinaan bot yang ditetapkan oleh Food and Agriculture Organisation (FAO) bagi pembinaan bot di bawah 12m,” tegasnya.
Menurut Mohd. Amirrudin lagi, mulai tahun ini, lukisan susun atur am (general arrangement plan) bagi semua bot yang dibina perlu mendapatkan perakuan Jabatan Perikanan, selaras dengan agenda kebangsaan untuk memodenkan sektor nelayan di Malaysia.
“Lukisan susun atur am bagi bot nelayan PSR adalah yang pertama untuk mendapat perakuan Jabatan Perikanan pada tahun ini.
“Kami dimaklumkan oleh pihak jabatan pada bulan Februari lalu yang program bantuan bot ini adalah program pertama yang mengemukakan lukisan reka bentuk bot nelayan untuk semakan dan kelulusan Bahagian Kejuruteraan Jabatan Perikanan Malaysia,” katanya lagi.
Peluang yang baik untuk nelayan
Sementara itu, syarikat tempatan, Fibra Marine Manufacturing and Trading (Fibra Marine) yang terletak di Butterworth, Seberang Perai Utara, telah disenarai pendek untuk menguruskan pembinaan 20 bot nelayan yang pertama tersebut.
Fibra Marine, kata pemiliknya Mohamad Naser Talib, mempunyai pengalaman dalam membina bot berukuran 20 kaki hingga 35 kaki. Kepakaran syarikat tersebut adalah dalam pembinaan bot menggunakan gentian kaca.
Jelas Mohamad Naser lagi, pekerja-pekerjanya akan cuba menyiapkan tempahan bot tersebut dalam masa tiga bulan.
Setiap bot akan dibina oleh dua orang pekerja. Rasanya kami mungkin dapat menyiapkan 20 bot itu dalam tiga bulan.
“Reka bentuk bot-bot itu praktikal dan mungkin boleh bertahan lebih 20 tahun,” katanya.
Tambah Mohamad Naser lagi, reka bentuk bot nelayan berbeza mengikut jenis tangkapan nelayan.
“Bagi nelayan PSR yang banyak menangkap udang, ikan kembung dan ketam, bot dengan dek terbuka menjadi pilihan manakala nelayan yang menangkap ikan bawal dan senangin akan memerlukan bot dengan dek tertutup yang ada ruangan untuk menyimpan pukat.
Saya melihat pelaksanaan PSR akan memberi banyak peluang baru dan pembangunan kepada nelayan setempat.
“Misalnya, akan ada tarikan pelancongan baru di kawasan itu yang boleh mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan untuk nelayan mendapat pendapatan tambahan.
“Saya berasa nelayan harus membuka minda dan memanfaatkan kebaikan dari peluang-peluang ini. Kalau kita tak berubah, kita tak akan maju,” ulasnya lanjut.
Enjin bot baru lebih mesra alam
Menurut Pengurus Besar Wilayah Supratechnic, Kan Bright Pan, enjin jenama Mercury adalah menepati piawaian pengeluaran karbon antarabangsa dan lebih mesra alam.
“Penggunaan enjin empat lejang adalah bagus untuk nelayan kerana mereka boleh menjimat kos operasi dan secara tidak langsung menambahkan pendapatan.
“Mereka boleh berjimat sebanyak 30 peratus hingga 50 peratus bergantung kepada kelajuan enjin (RPM atau revolusi per minit).
“Tempoh waranti bagi enjin yang ditawarkan kepada nelayan juga lebih lama, iaitu dua tahun,” jelasnya.
Bagi Pengurus Jualan dan Perkhidmatan HLY Marine, Ong Kheng Cheong, enjin empat lejang juga lebih bertahan daripada enjin dua lejang yang digunakan oleh nelayan kini.
“Enjin dua lejang lebih banyak mengeluarkan karbon. Pengeluaran enjin sedang beralih kepada enjin empat lejang,” katanya yang menjadi syarikat pengedar tunggal enjin berjenama Yamaha.
Sebagai rekod, kedua-dua syarikat Supratechnic dan HLY Marine masing-masing membekalkan enjin empat lejang (four stroke) yang lebih menjimatkan minyak, bersih dan senyap, malah, enjin-enjin ini jua menjadi pilihan para nelayan.
SIMP menawarkan nelayan Tahap 1 dan nelayan Tahap 2 dari unit Batu Maung, Sri Jerejak, Telok Tempoyak, Pulau Betong dan Kuala Sungai Burung bantuan kewangan (ex-gratia), peluang pekerjaan dan perniagaan, skim latihan dan kemahiran, program tuisyen untuk anak nelayan, serta bantuan perumahan.
Mengikut rekod Jabatan Perikanan, jumlah nelayan berdaftar di kawasan Tahap 1 dan 2 ialah seramai 952 orang.