NGO cadang wujudkan muzium warisan India Muslim, kompleks niaga

KUNJUNGAN hormat barisan pemimpin Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang ke Pejabat Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 12 Oktober 2023.

GEORGE TOWN – Di tengah-tengah Tapak Warisan Dunia UNESCO George Town wajar diwujudkan sebuah muzium warisan India Muslim sejajar dengan kewujudan komuniti itu dipercayai sejak lebih 200 tahun lampau di samping sumbangan mereka dalam perkembangan ekonomi di negeri ini.

Presiden Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Haja Najmudeen Kader berkongsi syor itu semasa mengadakan kunjungan hormat ke Pejabat Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow di Komtar pada 12 Oktober 2023.

Di samping itu, Haja Najmudeen turut mencadangkan Kerajaan Negeri hari ini supaya mewujudkan sebuah kompleks pasar raya berpusat seperti Pekan Rabu dekat Alor Setar, Kedah untuk merancakkan lagi penglibatan komuniti India Muslim dalam kegiatan ekonomi lokal di pusat bandar ini.

“Ada satu konsep pernah kita cadangkan iaitu untuk mewujudkan sebuah ‘Central Market’… (seperti) Pekan Rabu yang begitu popular di Alor Setar,” jelasnya sambil merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow dalam usaha memakmurkan ekonomi negeri.

Di samping itu, Kon Yeow turut merakamkan penghargaan atas penyertaan barisan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di bawah Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang serta komuniti India Muslim lokal dalam menggerakkan ekonomi negeri selama ini.

Selain Haja Najmudeen, hadir sama, Timbalan Presiden Gabungan Liga Muslim Pulau Pinang, Datuk Dr. Shahul Hameed Syed Mohamed; Presiden Anjuman Himayathul Islam, Datuk Abdul Kader K.N. Haja Mydin; Presiden Persatuan Hidayathul Islam & Central Muslim Society, Mohamed Hasan Othuman; Setiausaha Persatuan Warisan Dato Koyah, Adam Malik Shahul Hamid; dan beberapa pemimpin NGO gabungan lain.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR