Nibong Tebal Arena capai 80.22 peratus tahap kemajuan pembinaan – Exco

Admin

IJAWI – Projek pembangunan Nibong Tebal Arena dekat Jalan Bukit Panchor di sini sehingga 19 Jun 2023 mencapai 80.22 peratus tahap kemajuan pembinaan fizikal dan dijangka siap pada 7 Oktober depan.

SOON Lip Chee

Exco Belia dan Sukan, Soon Lip Chee berkata projek seliaan Pejabat Jurutera Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) itu mula dilaksanakan pada 16 Ogos 2021 dan sepatutnya siap pada 26 Februari lepas, namun menghadapi pelbagai kekangan ekoran pandemik COVID-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini.

Justeru, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal itu lagi, pihaknya berharap projek tersebut dapat disiapkan lebih awal berbanding tarikh jangka siap baharu.

“Nibong Tebal Arena yang mempunyai sembilan gelanggang badminton ini, selepas siap kelak boleh digunakan untuk pertandingan peringkat kebangsaan.

“Saya harap dewan ini dapat disiapkan secepat mungkin supaya setiap pertandingan boleh dilangsungkan di sini, juga boleh diadakan tempat untuk majlis kenduri dan sebagainya,” jelasnya selepas mengadakan lawatan tapak projek tersebut di sini pada 22 Jun 2023.

ADUN Jawi, Jason H’ng Mooi Lye; Pengarah Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP), Rashidah Jalaludin; Jurutera JKR Daerah, Ir. Shaiful Munir Leman; Pegawai Seranta bagi Pusat Khidmat Wakil Rakyat Ahli Parlimen Nibong Tebal, Low Hun Thye turut sertai lawatan tapak tersebut.

Pada 12 Julai 2023, Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow menyempurnakan majlis pecah tanah projek pemajuan Nibong Tebal Arena di atas tapak asal kuarters lama JKR yang berkeluasan 1.808 ekar atau 7316.72 meter persegi.

Projek milik PSDKLPP itu asalnya bernilai RM8,781,388.25 dan mengalami pertambahan kos sebanyak RM1,584,596.81 lagi untuk siap pada bulan Oktober depan.

Syarikat East Design Architect Sdn. Bhd. merupakan perunding bagi projek Kerajaan Negeri tersebut manakala kontraktor pula adalah Cemara Bina Jaya (M) Sdn. Bhd..

Boleh memuatkan 98 meja makan atau 1,200 orang pada satu-satu masa, Nibong Tebal Arena turut dilengkapkan dengan pelbagai kemudahan lain seperti 561 kerusi ‘retractable’; bilik tetamu, bilik persalinan, kamar dopping, pejabat, gerai, 83 petak parkir dan sebagainya.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS