JAWI – Selepas siap dewan pelbagai guna yang dikenali sebagai Nibong Tebal Arena, Kerajaan Negeri berhasrat untuk mewujudkan ‘Sport City’ pula di sekitar kawasan lapang berhampiran Stadium Negeri Pulau Pinang, Batu Kawan.
Mengulas lanjut, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya sehingga April ini dalam proses memanggil pelbagai pihak untuk menghantar proposal penyataan hasrat (RFP) bagi projek mewujudkan ‘bandar sukan’ tersebut demi meningkatkan lagi kualiti hidup penduduk negeri di samping menjadikan Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan serantau untuk acara sukan berprestij kelak.

Beliau yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Ekonomidan Tanah dan Komunikasi menyatakan demikian dalam sidang media seusai menyempurnakan Majlis Perasmian Nibong Tebal Arena di sini pada 25 Januari 2025.
“Kita (Kerajaan Negeri) telah membina SP Arena dekat Seberang Jaya yang berada di Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Butterworth Arena, kawasan Daerah Seberang Perai Utara (SPU), maka di SPS khususnya di Nibong Tebal kita berasa patut ada arena juga.
“Kita (Kerajaan Negeri) tidak pernah mengabaikan agenda pembangunan Seberang Perai (yang mana) telah banyak kali saya nyatakan bahawa masa depan negeri Pulau Pinang adalah bahagian Seberang Perai.
“Setelah dua tahun memikirkan inisiatif tersebut, akhirnya kita (Kerajaan Negeri) sudah memanggil satu tender untuk membangunkan ‘Sport City’ di Batu Kawan termasuk sekitar kawasan Stadium Negeri dengan kawasan-kawasan sekelilingnya (yang mana) litar lumba termasuk dalam cadangan (di samping) kemudahan lain termasuk pusat akuatik renang, akademi serta komponen komersial,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan sambil menggalakkan penyertaan pelabur swasta dalam projek terbaru tersebut.


Dalam ucapan perasmian sebelum itu, Kon Yeow mencadangkan Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang (PSDKLPP) supaya berikhtiar mewujudkan lebih banyak gelanggang ‘pickleball’ seperti di Nibong Tebal Arena juga memandangkan sukan baharu itu kian mendapat minat pada peringkat antarabangsa.
Berucap sebelum itu, Exco Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar & Desa, Jason H’ng Mooi Lye merakamkan penghargaan kepada pentadbiran Kon Yeow kerana telah membina sebuah dewan pelbagai guna baharu yang menyediakan enam gelanggang badminton, serta memuatkan 72 meja makan untuk penduduk setempat khususnya yang tinggal di kawasan Parlimen Nibong Tebal dan Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Jawi.
Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jawi itu lagi, pihaknya dimaklumkan bahawa Nibong Tebal Arena akan diuruskan oleh pembida berjaya melalui proses RFP cadangan pengurusan kemudahan baharu tersebut secara terbuka.
Sementara itu, Exco Belia, Sukan dan Kesihatan, Daniel Gooh Zi Sen pula berkata bahawa dengan wujudnya Nibong Tebal Arena yang memuat enam gelanggang badminton dan satu gelanggang ‘pickleball’, ia akan menambah lagi daya tarikan Pulau Pinang sebagai destinasi penganjuran sukan berprestij sama ada di peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Zulkifli Long; Pegawai Daerah Seberang Perai Selatan (SPS), Mohd. Khairul Fadzli Rosli; Setiausaha Bandaraya bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Mohd. Ibrahim Md. Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Stadium dan Kawasan Lapang Pulau Pinang, Rashidah Jalaludin turut sertai majlis perasmian tersebut.
Terdahulu, Kon Yeow pada 12 Julai 2022 telah menyempurna Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Nibong Tebal Arena di atas bekas tapak kuarters lama Jabatan Kerja Raya (JKR) seluas 1.808 ekar di sini dengan asal anggaran kos RM8,781,388.25.
Cadangan projek pembinaan Nibong Tebal Arena merupakan salah satu daripada 68 janji ‘Saya ❤️ Pulau Pinang’ yang terkandung dalam Manifesto Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), tahun 2018.
Dengan kos kira-kira RM10 juta, kini Nibong Tebal Arena menjadi satu lagi mercu tanda kemajuan di daerah SPS serta menjadi simbol komitmen Kerajaan Negeri menjadikan bahagian Seberang Perai sebagai masa depan pembangunan negeri Pulau Pinang.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : ALISSALA THIAN
Video : DARWINA MOHD. DAUD