ACAPKALI cuti persekolahan, ibu bapa adalah insan yang paling sibuk membuat perancangan bagi memastikan anak-anak tidak hanya terperap di rumah tetapi masa terisi dengan aktiviti bermanfaat dan menyeronokkan. Apatah lagi, memastikan bahawa rutin harian anak-anak berbeza ketika hari persekolahan.
Bermula 21 Disember hingga 29 Disember ini, Cuti Penggal 3 bagi Kumpulan B akan bermula. Wartawan Buletin Mutiara, AINUL WARDAH SOHILLI bersama-sama jurugambar, ALISSALA THIAN cuba mendekati ibu bapa untuk mengetahui perancangan sempena cuti persekolahan nanti.
Bagi YUSLIZA HASHIM, 44, beliau tidak mempunyai apa-apa perancangan memandangkan anak keduanya yang berusia 17 tahun kini sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang bermula 2 Disember lalu.
“Kalau nak rancang untuk bercuti pun…mungkin selepas dia (anak kedua) habis SPM nanti.
Mungkin akan ke Taiping, Perak untuk menikmati yong tau foo atau ke tempat-tempat makan yang ‘viral’, lagipun anak-anak memang suka.
“Baru-baru ini pun kami ke Tasik Beris di Sik…lari sekejap dari rutin harian bawa anak-anak meluangkan masa bersama,” kata ibu kepada tiga cahaya mata itu.
Memandangkan bulan Disember cukup istimewa, MAZUINA MALEK, 41, dan suami MOHD. RIDZUAN MOHD. RAHIM berhasrat untuk ke ibu kota sempena cuti persekolahan yang akan datang.
Tiga daripada empat orang anak kami menyambut ulang tahun kelahiran pada bulan Disember ini, jadi percutian ini adalah sebagai ‘birthday treats’ untuk anak-anak.
“Lagipun anak sulung kami yang belajar di Kolej Islam Sultan Alam Shah, Klang akan menduduki peperiksaan SPM pada awal Januari nanti, dapatlah rehat sekejap, ‘release stress’ sebelum peperiksaan.
“Pastinya kami mengharapkan percutian ke Kuala Lumpur nanti bukan sahaja menyeronokkan tetapi juga memberi banyak peluang pembelajaran kepada anak-anak.
“Sebagai ibu bapa, kami sedaya upaya akan meluangkan masa berkualiti bersama-sama keluarga sambil mencipta memori indah yang pasti akan dikenang selamanya,” ujarnya ketika dihubungi.
Difahamkan, antara tempat yang bakal dikunjungi termasuklah Zoo Negara, Pusat Sains Negara, Aquaria KLCC dan taman tema air Bangi Wonderland Water Theme Park.
Mahu lari hiruk-pikuk kesibukan di kota, MUHAMAD SIDEK KARIM, 41, memilih untuk pulang ke kampung halaman isteri, NURUL ARLITA KUSHIAR, 41, di Batang Kali, Selangor.
“Setelah mengambil kira kesesakan lalu lintas pada musim cuti sekolah, saya dan isteri membuat keputusan untuk bertolak awal pagi, seawal 5.00 pagi.
Bercuti di kampung sebenarnya amat menarik kerana banyak lokasi yang boleh dilawati di sana antaranya Tanjong Karang, Sekinchan dan Sungai Besar yang terkenal dengan aktiviti pertanian padi serta sayur-sayuran.
“Kalau boleh memang saya dan isteri tidak memilih percutian ke lokasi pelancongan lain bagi mengelakkan kesesakan, baik lalu lintas mahupun pengunjung yang ramai.
“Lagipun, di kampung nanti anak-anak dapat belajar suasana kehidupan ‘orang kampung’ yang pastinya tidak sama dengan suasana kehidupan mereka di bandar seperti George Town ini,” katanya.
Bagi NURUL AZMINA ABD. RAHIM, 37, beliau dan suami memilih untuk melancong ke Pantai Timur sempena cuti sekolah nanti.
Saya dan suami rancang untuk ke sana pun atas permintaan anak-anak yang teringin nak makan nasi kerabu asli dan etok salai.
“Tambahan pula, anak-anak pernah menyuarakan hasrat untuk ke Taman Tamadun Islam di Terengganu…nak tengok replika-replika masjid dari serata dunia.
“Selain itu, kami pun teringin juga nak ke Masjid Kristal yang terletak berdekatan sahaja dengan Taman Tamadun Islam.
“Waktu cuti persekolahan sahaja anak-anak ada masa lapang dan terluang, jadi bagi peluang kepada mereka untuk pilih (tempat untuk bercuti), kita sebagai ibu bapa ini, ikut sahaja,” jelasnya yang turut akan menikmati makanan istimewa di Terengganu iaitu celup tepung sambil menikmati panorama pantai yang mendamaikan jiwa.
Melihat pada keadaan semasa yang bekerja sendiri, JOHAN ABU BAKAR, 40, berkata, beliau tidak mempunyai sebarang perancangan untuk cuti persekolahan ini.
“Saya dan isteri kini merancang perbelanjaan untuk permulaan sesi persekolahan 2025 termasuk bulan puasa yang kemudiannya akan disusuli dengan Hari Raya (Aidilfitri).
“Jadi kami memilih untuk tidak membawa anak-anak bercuti penghujung tahun ini kerana memerlukan perbelanjaan yang besar.
Lagipun anak sulung saya sedang menduduki peperiksaan SPM, mahu dia tumpu untuk habis peperiksaan dulu.
“Mungkin melakukan aktiviti dengan anak-anak di rumah, macam-macam boleh buat, ‘bonding time’ tidak semestinya bawa anak pergi bercuti tapi isikan masa lapang dengan aktiviti seperti menonton filem atau berbasikal bersama-sama di kawasan sekitar,” katanya yang menetap di Permatang Pasir, Balik Pulau.