AIR PUTIH – Peminat burung atau pemerhati burung dialu-alukan untuk menyertai program memerhati burung yang akan diadakan di Bukit Bendera pada 20 Julai (esok) bermula jam 8:30 pagi hingga 10:30 pagi.
Program tahunan yang dianjurkan oleh Persatuan Pencinta Alam Malaysia (MNS) cawangan Pulau Pinang dengan kerjasama Perbadanan Bukit Bendera Pulau Pinang (PHC) itu adalah sebagai sebahagian daripada pengisian Penang Hill Festival 2024.
Penasihat MNS cawangan Pulau Pinang, K. Kanda menggalakkan peminat burung untuk menyertai program tersebut bagi mengetahui lebih lanjut mengenai pelbagai spesies burung yang terdapat di Bukit Bendera.
“Menerusi program ini, kami ingin mendidik orang ramai tentang spesies burung, tingkah laku burung serta ekosistem mereka.
“Program ini juga bertujuan memupuk pemahaman serta penghargaan yang lebih mendalam terhadap hidupan liar dan pemuliharaan alam semula jadi.
“Melibatkan diri dengan alam semula jadi melalui aktiviti memerhati burung juga boleh mengurangkan tekanan, kebimbangan, dan kemurungan.
“Peserta yang terlibat dalam program ini nanti dapat melihat kebanyakan burung biasa di Bukit Bendera dan jika bernasib baik, mereka akan melihat beberapa yang paling jarang, terutamanya burung hijrah,” katanya ketika dihubungi semalam.
Menurut Kanda, tiada bayaran dikenakan kepada peserta yang menyertai acara tersebut.
“Peserta juga diminta untuk membawa teropong sendiri kerana teropong yang disediakan adalah terhad kuantitinya dan digalakkan untuk membawa baju hujan serta payung sendiri sebagai persediaa sekiranya cuaca hujan,” ujarnya.
Peserta yang berminat boleh mendaftarkan diri di https://bit.ly/49mklXL secepatnya kerana pendaftaran adalah terhad.
Oleh : NUR SYAKIRAH MOHD. BASRI
Gambar : PHC