GEORGE TOWN – Pasaran halal menyumbang RM40.2 bilion kepada nilai eksport Malaysia pada tahun 2019, sekalis gus menjadikan sektor tersebut sebagai peluang perniagaan kepada usahawan di Pulau Pinang.
Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan, Dato’ Abdul Halim Hussain berkata bahawa sektor halal sangat berpotensi untuk dikembangkan pada masa akan datang.
“Justeru, Kerajaan Negeri menilai potensi tersebut dengan menyalurkan dana bagi memajukan sektor halal di Pulau Pinang melalui peruntukan berjumlah RM228,000 untuk pembangunan, kurus dan sebagainya.
“Melalui Penang Halal International (PHI), kita mahu mudahkan cara memperolehi pensijilan halal, kerana banyak lagi (usahawan) yang belum faham mengenai perkara ini.
“Pensijilan halal sebenarnya dapat memperluaskan pasaran perniagaan kerana halal juga meliputi aspek kebersihan yang menjadi keutamaan semua pihak,” ujar Abdul Halim ketika berucap pada Kursus Asas Pensijilan Halal Malaysia (KAPHM) Tahun 2021 di Auditorium C, Komtar di sini pagi tadi.
Difahamkan, seramai 70 peserta menghadiri kursus tersebut secara fizikal manakala baki 50 hadir secara maya.
Hadir sama, Pegawai Teknologi Makanan bagi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP), Nur Hanisah Othman.
Abdul Halim berkata, antara negara yang menjadi pengeksport produk halal dari Malaysia adalah China (RM4.7 bilion), Singapura (RM4.5 bilion) Amerika Syarikat (RM2.6 bilion), Jepun (RM2.4 bilion) dan Indonesia (RM2.1 bilion).
Katanya lagi, menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMKe-12) juga, Kerajaan Pusat turut mengenal pasti industri halal sebagai antara sektor yang dijangka dapat memacu ekonomi.
“Dari sini kita juga mengintai negara Japun, Taiwan dan Turki sebagai pasaran baharu dan saya harap tahun 2022 dapat menjana pertumbuhan ekonomi yang positif,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.
Selain giat menumpukan sektor halal, belia turut mengingatkan usahawan-usahawan yang hadir mengenai peri pentingnya transformasi digital sebagai medium pemasaran moden.
“Transformasi digital yang sudah dimulakan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2019 sedikit sebanyak telah membantu para usahawan berdepan tempoh pandemik COVID-19.
“Teknologi sebenarnya telah mengubah dan mempengaruhi cara hidup kita dan model cara perniagaan kita pada hari ini.
“Generasi muda hari ini makan nasi sehari mungkin sekali sahaja, malam trend memesan makanan-makanan cita rasa baharu melalui syarikat penghantar makanan yang mana secara tidak langsung turut mengubah cita rasa,” katanya lagi.
Oleh : WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar : DARWINA MOHD. DAUD