GEORGE TOWN – Nilai maksimum projek pembinaan rumah baru rakyat miskin di negeri Pulau Pinang dinaikkan daripada RM56,000 kepada RM75,000, berkuat kuasa pada tahun 2023.
Mengulas lanjut, Exco Perdagangan, Pembangunan Keusahawanan dan Luar Bandar, Rashidi Zinol memberitahu bahawa Kerajaan Negeri Perpaduan Pulau Pinang pada tahun ini memperuntukkan sebanyak RM3.1 juta bagi meneruskan kesinambungan program tersebut.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Acheh memberitahu bahawa sehingga kini, seramai 42 penerima telah menerima manfaat daripada program tersebut dengan jumlah perbelanjaan sebanyak RM2.23 juta.
“Dengan jumlah perbelanjaan RM2.23 juta, 22 penerima bagi (projek) Bina Baru Rumah dan 20 buah rumah yang dibaik pulih di bawah peruntukan Kerajaan Negeri,” jelasnya semasa Sesi Penggulungan Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Yang Ke-15 di sini pada 29 November 2023.
Dalam perkembangan berkaitan, Rashidi memberitahu bahawa pada tahun 2023 juga seramai 65 penerima mendapat manfaat daripada Program Peningkatan dan Pemulihan Ekonomi Negeri (Bantuan Peralatan) yang disediakan oleh Kerajaan Negeri hari ini, dengan perbelanjaan sebanyak RM165,821.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : SIEW CHIA EN