SEBERANG JAYA – Kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia (RM) yang mencecah sekitar RM4 bagi sedolar AS baru-baru ini memungkinkan negara sukar untuk mencapai status ‘negara berpendapatan tinggi’ pada tahun 2020, dengan sasaran pendapatan negara kasar per kapita sejumlah AS$15,000 setahun.
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Malaysia dijangka memerlukan lima sehingga 10 tahun lagi selepas tahun 2020 nanti untuk mencapai sasaran tersebut, jika mengambil kira realiti kejatuhan nilai mata wang negara, kini.
“Daripada AS$12,000 (pendapatan negara kasar per kapita), sekarang tinggal AS$10,000, (ertinya) kita telah hilang AS$2,000.
“Berapakah (nilai) AS$2,000, (menyamai) hampir RM8,000…(disebabkan) penurunan mata wang Ringgit berbanding nilai dolar AS?
“Untuk mencapai pendapatan (negara kasar per kapita) AS$15,000, kita perlu tunggu lima tahun lagi (tahun 2025) hingga 2030,” jelasnya pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Ketua Menteri di sini baru-baru ini.
Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Mohd. Rashid Hasnon, Prof. Dr. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) dan Dato’ Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut berucap pada majlis tersebut.
Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang, Khalid Samad (Ahli Parlimen Shah Alam), Dato’ Dr. Mujahid Yusof Rawa (Ahli Parlimen Parit Buntar), Tuan Haji Mohamad Sabu (bekas Ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang)
merupakan antara tetamu Kerajaan Negeri yang turut berucap pada majlis tersebut.
Tambah Guan Eng, krisis kewangan dalam syarikat pelaburan negara 1Malaysia Developement Berhad (1MDB) yang menjadi perhatian dunia serta dalam negara merupakan salah satu faktor menggugat keyakinan awam kepada nilai RM.
“Inilah kesan apabila nilai Ringgit turun, inilah kesan 1MDB,” tegas beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.
Dalam perkembangan sama, Guan Eng menuntut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan bahawa beliau masih mempunyai integriti, selepas didedah sejumlah RM2.6 bilion ‘disumbangkan’ oleh pihak tertentu dalam akaun peribadinya.
document.currentScript.parentNode.insertBefore(s, document.currentScript);