Nilai semula kapasiti penerima vaksin harian PPV Pusat Konvensyen Perda – Ketua Menteri

Admin
KETUA Menteri (berdiri, berbaju putih) mendapatkan maklum balas langsung daripada salah seorang individu yang sedang menunggu giliran mendapatkan vaksin di Pusat Konvensyen Perda Tasek Gelugor di sini pada petang tadi.

SUNGAI DUA – Pejabat Daerah dan Tanah Seberang Perai Utara (SPU) diminta menilai semula kapasiti penerima vaksin di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pusat Konvensyen Perda Tasek Gelugor, memandangkan pada hari ketiga operasi hari ini menyaksikan ramai terpaksa beratur panjang dalam tempoh begitu lama.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow berkata demikian selepas membuat tinjauan serta mendapatkan maklum balas pelbagai pihak di PPV tersebut.

“Saya menyaksikan dan dimaklumkan ada satu barisan panjang yang mana menunggu giliran…seperti maklum balas seseorang, sepatutnya janji temu pada 12 tengah hari, sekarang sudah lebih kurang jam 3 petang (masih menunggu giliran untuk mendapatkan vaksin).

“Jadi, pada hari ini, saya mengambil kesempatan untuk memohon maaf kepada orang yang terpaksa tunggu lama.

“Saya harap penambahbaikan dapat dilakukan (iaitu) ditetapkan kapasiti penerima vaksin (harian) yang lebih selesa, sesuai dengan segala kemudahan yang ada di sini (Pusat Konvensyen Perda Tasek Gelugor).

“(Justeru) saya minta Pegawai Daerah (SPU) untuk mengkaji dan melakukan penambahbaikan (berkaitan),” jelasnya yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Ekonomi dan Komunikasi di sini pada 14 Julai 2021.

Turut mengiringi, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Abdul Razak Jaafar; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd. Noor yang juga Ketua Pembangkang Pulau Pinang; ADUN Bertam merangkap pengerusi Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda), Khaliq Mehtab Mohd. Ishaq dan Ketua Polis Daerah SPU, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor.

Difahamkan, PPV Pusat Konvensyen Perda Tasek Gelugor mula beroperasi sejak Isnin lepas dengan kapasiti pemberian dos harian ditetapkan untuk 1,000 individu, diikuti 1,030 orang (13 Julai 2021) dan 2,095 orang pada hari ini.

Menurut Kon Yeow, mengikut petunjuk prestasi (KPI) berkaitan, sepatutnya tempoh seseorang mendapatkan vaksin adalah dalam antara 35 hingga 45 minit serta tidak wajar mengambil masa yang begitu lama.

Dalam perkembangan berkaitan, Kon Yeow memberitahu bahawa 591,000 dos vaksin yang asalnya diterima pada bulan Julai ini, ditambah menjadi 740,000 dos, sekali gus membolehkan kapasiti pemberian vaksin harian di seluruh negeri ini adalah kira-kira lebih 20,000 dos.

“Tanggungjawab kita (Kerajaan Negeri) adalah memastikan PPV mencukupi disediakan untuk kelulusan CITF (Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau COVID-19 Immunisation Taskforce).

“Kita (Kerajaan Negeri) yakin bahawa menjelang akhir bulan Ogos, negeri Pulau Pinang mampu mencapai 40 peratus daripada populasi dewasa yang berdaftar lengkap menerima dos yang kedua, (sekali gus) melayakkan kita (Pulau Pinang beralih) ke fasa ketiga (Pelan Pemulihan Negara, PPN),” ujarnya lagi yang juga ADUN Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Tanjong.

Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD
Video : MOHAMAD AMIR IRSYAD OMAR