PENANTI – Mungkin pertama di Malaysia, Dewan Pintar dekat Taman Guar Perahu sejak 28 Ogos lepas ditukar guna sebagai Pusat Talian Bantuan Kecemasan COVID-19 (CAC) Pulau Pinang.
Exco Agroteknologi & Keselamatan Makanan, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr. Norlela Ariffin berkata dengan menghubungi 999, memudahkan lagi para pesakit mendapatkan maklum balas serta rawatan berkaitan penyakit COVID-19.
“Dengan menghubungi 999, Pusat Talian Bantuan Kecemasan COVID-19 Pulau Pinang terus ke tempat pengadu untuk memberikan bantuan pernafasan di dalam van yang disediakan (oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, JKNPP).
“Sehingga 8 September, Pusat Talian Bantuan Kecemasan COVID-19 Pulau Pinang menerima 318 panggilan, yang kita membuat panggil susulan di bahagian Pulau adalah 295 (sementara) di Seberang Perai kita membuat 23 panggilan susulan.
“(Dan) daripada 318 panggilan yang diterima, kita hantar ambulans kepada 49 individu, 112 kes mendapatkan bantuan pernafasan dalam ambulans di lokasi mereka dan sebagainya.
“Sebab itu, saya kata CAC (Pulau Pinang) penting sebagai sistem pemantauan perubatan susulan supaya seseorang pesakit itu tidak perlu menunggu di bawah khemah untuk menunggu giliran sama ada masuk ke hospital, jika perlu,” jelasnya semasa majlis mempromosi CAC Pulau Pinang di sini pada 9 September 2021.
Di samping itu, Norlela turut menjelaskan bahawa hampir 80 peratus pesakit COVID-19 di Pulau Pinang enggan berdaftar masuk ke Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC) Berisiko Rendah.
Menurutnya, kebanyakan pesakit COVID-19 memilih untuk menjalani kuarantin di rumah, dan perkara itu amat membimbangkan kerana dikhuatiri jika pesakit lambat diselamatkan.
“Kebanyakan pesakit COVID-19 memilih untuk kuarantin di rumah, itu yang kita risau kerana sekarang banyak kes Brought-In-Dead (BID).
“Kadang-kadang pesakit ini tiada simptom dan mereka beranggapan badan mereka sihat. Namun jika penilaian yang dijalankan mendapati mereka perlu ke PKRC, saya mohon tolonglah ikuti,” katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penanti.
Bercakap pada majlis sama, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar memberitahu bahawa masih ramai pihak terutama di bahagian Pulau tidak mengetahui sistem sokongan CAC Pulau Pinang dengan membuat panggilan 999.
Menjawab soalan pemberita selepas itu, Norlela memberitahu bahawa Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Pasukan Pengurusan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) akan mengadakan perbincangan di Pulau Pinang mengenai cadangan meningkatkan sumber tenaga manusia bagi mendepani lambakan pesakit COVID-19 dan bukan COVID-19 di hospital-hospital awam dekat negeri ini.
Menurutnya lagi, Menteri berkaitan diminta mempertimbang cadangan untuk memindahkan pesakit bukan COVID-19 dari hospital awam sekitar Pulau Pinang ke hospital swasta berdekatan dengan kos rawatan dibiayai secara langsung oleh Kerajaan Persekutuan, seperti di Lembah Klang sebelum ini.
Exco Pembangunan Sosial dan Hal Ehwal Bukan Islam, Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang; ADUN Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail; dan seorang doktor perubatan dari Hospital Pulau Pinang turut sertai sidang media promosi CAC Pulau Pinang tersebut.
Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB
Gambar : AHMAD ADIL MUHAMAD