PUSAT Inovasi Teknooogi Wilayah Ekokoki Koridor Utara (NCER) atau NCER Technology Innovation Center (NTIC) di negeri Pulau Pinang hampir siap pada tahap pemajuan 97
peratus setakat ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), MOHAMAD HARIS KADER SULTAN berkata bahawa projek tersebut kini mencapai 97 peratus tahap pemajuan dan dijangka beroperasi pada bulan Disember tahun ini.
Beliau memberitahu perkara itu dalam sesi temu ramah bersama-sama wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan juru gambar, ADLEENA RAHAYU AHMAD RADZI di tapak bangunan pemajuan NTIC seluas kira-kira 23,000 kaki persegi dekat Hilir Sungai Klung 2, Bayan Lepas pada 20 September 2024.
“NTIC dekat Bayan Lepas berada pada landasan yang betul untuk disiapkan sepenuhnya menjelang bulan November (2024),” jelasnya kepada Buletin Mutiara seusai menerima
lawatan kerja ‘pasukan’ Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow pada hari berkaitan.
Dengan kekuatan infrastruktur pelaburan yang telah tersedia ada di negeri ini, Mohamad Haris menyatakan bahawa NTIC mampu menjadi hab teknologi terkemuka dengan tujuan yang jelas iaitu memperkukuh kluster industri, menyepadu nilai rantaian bekalan serta memupuk budaya inovasi dan teknologi maju.
“Tumpuan kami (NTIC) pada lima sektor utama iaitu Elektrik dan Elektronik (E&E), Kejenteraan dan Peralatan (M&E), Kelengkapan dan Peranti Perubatan, Aeroangkasa dan teknologi pertanian,” ujarnya.
Dalam sesi temu bincang bersama-sama Kon Yeow, Mohamad Haris turut memuji negeri Pulau Pinang kerana mempunyai ekosistem pelaburan dan teras ekonomi yang mantap ketika ini.
“Negeri (Pulau Pinang) ini telah membangunkan ekosistem yang begitu kukuh dan berdaya saing.
“Kami (NCIA) menerima banyak maklum balas positif serta (penyataan) minat bakal pelabur semasa misi perdagangan kami,” ulasnya.
Bercerita lanjut, Mohamad Haris memberitahu bahawa NTIC yang bakal beroperasi tidak lama lagi akan mengetengahkan beberapa inisiatif utama utama termasuk Program Meister
Teknologi Lanjutan (ATMP), Pembekal Pusat Kecemerlangan (CoEP), Pengguna Pusat Kecemerlangan (CoEU) dan platform Teknologi & Inovasi (T&I).
Serentak pada majlis sama, Kon Yeow yang juga Exco Kewangan, Pembangunan Tanah & Ekonomi dan Komunikasi pentadbirannya menyambut baik usaha agensi Persekutuan tersebut dalam memperkukuh teras ekonomi dan pelaburan di negeri Pulau Pinang.
Menurut beliau, kelak NTIC akan memainkan peranan sebagai pusat mempromosi serta menyokong aktiviti pelaburan bernilai tinggi termasuk pembangunan pembangunan produk, reka bentuk produk, penyelidikan dan pembangunan (R&D), teknologi maju, inovasi, penciptaan harta intelek (IP), pengkomersialan dan pembangunan bakat.
“Inisiatif ini berpotensi menjana peluang pekerjaan baharu yang bernilai tinggi,” jelasnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota merangkap Ahli Parlimen Batu Kawan seusai mengikuti taklimat Mohamad Haris berkaitan NTIC.
Dalam perkembangan berasingan di Komtar pada 19 Ogos lepas, Kon Yeow menyaksikan tiga firma E&E yang terlibat aktif dalam program di bawah NTIC Pulau Pinang menerima sijil apresiasi daripada NCIA sendiri.
Wakil syarikat Western Digital, Estek Automation dan Aemulus masing-masing menerima sijil apresiasi daripada Ketua Pegawai Operasi NCIA, Hasri Hasan.
Semasa berucap, Kon Yeow berkata bahawa pentadbirannya senantiasa memberi sokongan kepada usaha memperluas program berkaitan di bawah NTIC sekitar Pulau Pinang.
“Menerusi sokongan daripada syarikat-syarikat besar, inisiatif (NTIC) ini juga bakal menyokong pembangunan bakat berkemahiran tinggi bagi memenuhi permintaan (sektor
pekerjaan) dan pertumbuhan ekosistem industri bernilai tinggi,” ujarnya dalam majlis berkaitan.
Mengulas lanjut, Kon Yeow memberitahu bahawa dalam tempoh separuh pertama tahun 2024 (Q2 2024) menyaksikan sejumlah 16 syarikat Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS)
tempatan Pulau Pinang telah dipermudah cara melalui geran padanan di bawah NTIC dengan tujuan meningkatkan nilai rantaian bekalan.
Tambah beliau, geran padanan kepada 16 syarikat PKS tersebut di bawah NTIC menerusi CoE dan T&I.
Menyentuh prestasi pelaburan negeri pula, Kon Yeow memberitahu bahawa Pulau Pinang berjaya merekodkan aliran masuk pelaburan berjumlah RM71.9 bilion pada tahun 2023 yang mana rekod tertinggi negara.
“Menerusi kerjasama antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan NCIA, negeri (Pulau Pinang) berjaya merealisasikan (aliran masuk) pelaburan (dan) hampir 5,000 peluang pekerjaan (baharu) berjaya diwujudkan enam bulan pertama tahun (2024) ini,” jelasnya
sambil menyatakan keyakinan bahawa NTIC akan memperkukuh minat kluster pelabur industri, menyepadu nilai rantaian bekalan serta memupuk budaya inovasi dan teknologi maju.