Nurhidayah, Muttaqeen puji cadangan projek mitigasi banjir Sungai Bakap

Admin
img 9976 NURHIDAYAH Che Rose (empat dari kiri) mengiringi Fadhlina Sidek mendapatkan maklum balas pelbagai pihak berkepentingan berhubung kejadian air pasang pada 16 Disember 2023 yang mana sampai mengakibatkan banjir dekat Taman Puteri Gunung, Flat Mutiara Jaya dan Kampung Sepulau, KADUN Sungai Bakap.

JABATAN Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Pulau Pinang akan melaksanakan tiga projek mitigasi banjir jangka pendek di Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau yang melibatkan kos kira-kira RM600,000.

Exco Infrastruktur, Pengangkutan dan Digital, Zairil Khir Johari memberitahu bahawa ketiga-tiga projek tersebut akan bermula pada akhir bulan Jun dan akan mengambil masa kira-kira tiga bulan untuk disiapkan.

“Antara skop kerja terlibat adalah melaksanakan kerja mendalamkan laluan sungai yang sempit (bottleneck) sepanjang satu kilometer (km) dan pembinaan struktur tembok penahan (gabion) untuk penstabilan tebing sungai di sepanjang 120m.

“Pelaksanaan projek ini bakal memberi manfaat kepada 150 keluarga di kawasan terlibat,” katanya kepada Buletin Mutiara baru-baru ini.

Susulan itu, wartawan Buletin Mutiara, ZAINULFAQAR YAACOB dan jurugambar, MUHAMAD AMIR IRSYAD OMAR pada petang tadi (12 Jun 2024) membuat tinjauan lapangan di ketiga-tiga kawasan tapak cadangan projek mitigasi banjir tersebut.

acca85a2 5922 4b7d 8b71 1385b601de0c
NURHIDAYAH Che Rose

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP), Nurhidayah Che Rose berkata, usaha Kerajaan Perpaduan Negeri Pulau Pinang melaksanakan tiga projek mitigasi tersebut wajar dipuji.

“Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau memang merupakan antara tempat yang sering kali berlaku banjir yang teruk.

“Di Kampung Sepulau umpamanya, memang pernah banjir, air naik sama paras pinggang…pada 16 Disember 2023,” jelasnya.

Seperti usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mengurangkan risiko banjir, Nurhidayah memberitahu bahawa MBSP sendiri memang ada melaksanakan beberapa projek menaik taraf sistem perparitan sedia ada.

“Pada 4 Oktober 2023 umpamanya, saya sendiri mendapat aduan daripada penduduk Jalan 2, Taman Seruling Emas yang kerap dilanda banjir.

“Longkang di situ telah lama wujud, mungkin sama usia dengan kawasan taman perumahan di situ.

“Susulan itu, saya sendiri telah menghubungan (Ts.) Dr. Mohamad Nasran (Dato’ Prof. Dr. Nasehir Khan) iaitu Penolong Pengarah Jabatan Kejuruteraan MBSP bagi mendapatkan maklum balas lanjut.

“Hasil perbincangan lanjut, akhirnya MBSP sendiri melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih longkang sedia ada, yang mana bagi saya ia adalah perkara penting untuk mengurangkan risiko banjir kilat di sini.

“Bukan sahaja longkang sedia ada diperbaiki, malah diperluaskan untuk melancarkan aliran air terutama semasa hujan terlalu lebat.

“Bajet untuk kerja-kerja mitigasi sistem ini sudah lama, tetapi baru diluluskan (peringkat MBSP) bagi tahun ini,” katanya yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang.

img 9974
NURHIDAYAH Che Rose (kanan) mendapatkan maklum balas salah seorang penduduk setempat berhubung isu ‘hotspot’ banjir kilat di Jalan 2, Taman Seruling Emas, KADUN Sungai Bakap yang terjadi pada awal bulan Oktober tahun lepas.

Menganggap Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Bakap sebagai kawasan ‘hotspot’ banjir, Nurhidayah memberitahu bahawa Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Nibong Tebal, Fadhlina Sidek turut menubuhkan unit bencananya sendiri.

“YB Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek sendiri pada peringkat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Nibong Tebal memang ada tubuh unit bencana sendiri.

“Dalam unit bencana ini ada 10 hingga 15 orang (yang mana) mereka berperanan untuk memantau kawasan-kawasan ‘hotspot’ banjir termasuk di Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau,” katanya.

img 9972
MUTTAQEEN Mustafa

Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Sungai Bakap, Muttaqeen Mustafa yang ditemui kemudian turut memuji usaha Kerajaan Negeri melaksanakan ketiga-tiga projek mitigasi banjir di sini.

“Terima kasih kepada pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Chow Kon Yeow – atas semangat Kerajaan Perpaduan di negeri ini – turut mengambil maklum mengenai keadaan sebenar yang dihadapi di KADUN Sungai Bakap ini.

“Apabila hujan terlalu lebat, kawasan-kawasan ini paling cepat dinaiki air.

“Jadi, kalau ketiga-tiga projek mitigasi banjir ini tidak disegerakan, rakyat yang menghadapi masalah sama (iaitu banjir kilat), dan keluhan penduduk itu senantiasa kedengaran.

“Pada musim tengkujuh hujung tahun lepas, Kampung Sepulau baru sahaja dilanda banjir,” jelasnya lagi sambil memuji usaha Pejabat Exco kerana menyegerakan pelaksanaan ketiga-tiga projek tersebut.

a37a52ef f18f 4973 a646 78283a839367
(Dari kiri) MOHAMAD Abdul Hamid, Fadhlina Sidek dan Zairil Khir Johari dalam sidang media berkaitan dekat KADUN Sungai Bakap di sini pada 4 Jun 2024.

Pada 4 Jun lepas, Zairil bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I, Dato’ Dr. Mohamad Abdul Hamid dan Fadhlina Sidek mengumumkan pelaksanaan ketiga-tiga projek mitigasi di Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau.

Zairil yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bunga turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Kerajaan Persekutuan yang turut meluluskan RM246.5 juta bagi projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Jawi dan Sungai Kechil.

“Kedua-dua projek tebatan banjir ini dijangka dapat menyelamatkan 10,088 penduduk yang terjejas banjir di DUN Jawi dan Sungai Bakap serta mengurangkan kekerapan dan keluasan kawasan banjir sebanyak 1,790 hektar.

“Projek ini akan melindungi kawasan ‘hotspot’ dan risiko banjir seperti di Taman Sungai Duri Permai, Taman Sungai Duri Indah, Kampung Sungai Duri, Taman Jawi Permai, Taman Jawi Jaya, Kampung Sethu, Perkampungan Jawi, Kampung Titi Hitam, Kampung Surau, Jalan Persekutuan di pekan Jawi dan Jalan Negeri di Changkat.

“Projek ini bermula pada 8 Februari 2024 dengan fasa reka rentuk dan dijangka siap pelaksanaan fizikal di tapak pada 7 Februari 2028,” ulasnya lagi.

9731a1ec 32f3 41f8 80f2 5ae5e6e1fd98
MOHD Noor Ahmad

Mengulas lanjut, Ahli Majlis MBSP, Dato’ Mohd. Noor Ahmad berharap segala projek mitigasi banjir yang dilaksanakan sama ada pada peringkat Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri mahupun Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) benar-benar dirasai oleh sekalian rakyat termasuk penduduk di sekitar KADUN Sungai Bakap.

“Paling penting bukan sahaja projek-projek mitigasi ini dilaksanakan sesegera mungkin, malah kesan berantai dari pelaksanaan projek ini benar-benar dirasai oleh penduduk setempat.

“Pada masa yang sama, MBSP juga seharusnya melihat perkara-perkara berkaitan lain, yang sebenarnya turut menyumbang pada risiko banjir sekitar kawasan di bawah pentadbiran PBT itu.

“Kita bukan anti pembangunan, tetapi pembangunan yang nak diluluskan itu biarlah tidak sampai meninggalkan kesan berantai seperti banjir kilat di kawasan-kawasan kediaman yang telah sedia wujud sebelum itu.

“Sistem perparitan yang baik perlu dilaksanakan terlebih dahulu, sebelum satu-satu projek perumahan baharu hendak dilaksanakan.

“Seperkara lagi, aspek ketinggian kawasan pembangunan baharu, kadang kala sampai mengakibatkan kawasan-kawasan kediaman sedia ada tenggelam apabila berlaku keadaan hujan terlalu lebat.

“Sepatutnya, sebelum satu-satu permohonan Pelan Kebenaran Merancang nak diluluskan, aspek-aspek yang saya sebutkan ini mesti terlebih dahulu diteliti oleh MBSP sendiri supaya kemudian hari PBT tidak perlu buat ‘kerja dua kali’ iaitu memastikan projek pembangunan baharu diteruskan.

“Pada masa yang sama terpaksa membiayai kos-kos mitigasi berkaitan yang berpunca daripada projek-projek pemaju bukan kerajaan tertentu,” jelasnya lagi yang juga Ketua Penerangan Umno Negeri Pulau Pinang.

Sehubungan itu, beliau menyambut baik ketiga-tiga projek mitigasi bernilai RM600,000, seperti diumumkan oleh Zairil baru-baru ini.

“Kampung Changkat Dain, Kampung Besar dan Kampung Sepulau adalah antara penempatan rakyat termasuk orang Melayu.

“Bagi saya, projek Kerajaan Negeri ini patut disambut baik,” katanya lagi.