OKK pastikan tahap keselamatan premis dalam keadaan baik

Admin
img 20240611 wa0014

BAGAN JERMAL – Pelaksanaan Organisasi Keselamatan Kebakaran (OKK) di premis yang telah ditetapkan dapat memastikan tahap keselamatan ruang premis berada dalam keadaan baik dan terjaga.

Exco Exco Pembangunan Sosial, Kebajikan dan Hal Ehwal Bukan Islam, Lim Siew Khim berkata penubuhan OKK adalah bertujuan menjadikan pengurusan keselamatan kebakaran di premis yang ditetapkan menjadi lebih cekap dan berkesan.

“Berdasarkan data bilangan premis yang telah disenaraikan di dalam kategori “Premis Ditetapkan” mengikut rekod Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Pulau Pinang adalah sebanyak 794 premis termasuk premis kerajaan dan swasta.

“Justeru, saya dapat rumuskan bahawa pelaksanaan ‘Perakuan Bomba’ ini sangat penting bagi menentukan dan memastikan tahap keselamatan kebakaran di suatu premis terbabit berada dalam keadaan baik dan terjaga,” katanya ketika berucap semasa merasmikan Seminar OKK Bagi Premis Ditetapkan Tahun 2024 dekat PICCA Convention Centre @ Butterworth Arena di sini sebentar tadi.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah Bahagian (Operasi) JBPM, Dato’ Ir. Ts. Ahmad Izram Osman; Timbalan Pengarah JBPM Negeri Pulau Pinang, Ts. Zulfahmi Sutaji; Penolong Pengarah Bahagian Keselamatan Kebakaran JBPM Pulau Pinang, merangkap Ketua Jawatankuasa Penganjuran Seminar, Yusri Mohd Yusoff @ Hashim; pengarah-pengarah JBPM negeri; barisan penceramah dan peserta seminar.

img 20240611 wa0020

img 20240611 wa0022

img 20240611 wa0012

img 20240611 wa0018

Siew Khim berkata, pelaksanaan peraturan OKK di negeri Pulau Pinang akan melahirkan ramai individu yang bertauliah dan kompeten bagi pengurusan keselamatan kebakaran di premis terbabit.

“Oleh itu, diharapkan dengan perancangan, penyusunan latihan dan kursus oleh JBPM, individu-individu yang dilantik sebagai Fire Safety Manager (FSM) dan Fire Safety Office (FSO) dapat mencapai tahap kompetensi seperti yang disasarkan.

“Ini penting untuk mengelakkan kemalangan jiwa dan kerugian harta benda sekiranya berlaku suatu kebakaran yang memberi kesan secara langsung terhadap kesejahteraan rakyat dan ekonomi di negeri ini,” katanya.

Penubuhan OKK di premis ditetapkan merupakan salah satu daripada beberapa penambahan seksyen baharu yang diperkenalkan dalam Akta Perkhidmatan bomba 1988 (Akta 341) yang diluluskan di Parlimen pada tahun 2018.

Oleh : SUNARTI YUSOFF
Gambar : NOOR SITI NABILAH NOORAZIS