OKU cemerlang akademik peroleh perhatian ADUN

Gambar: LAW SUUN TING

PAYA TERUBONG – Walaupun dilahirkan sebagai orang kurang upaya (OKU) bisu dan pekak, ia tidak pernah menjadi penghalang buat How Kai Xiang, 19, untuk cemerlang dalam bidang akademik.

Penuntut fotografi di YES Academy, Kuala Lumpur tersebut bukan sahaja berhasrat untuk menamatkan pengajiannya di peringkat diploma, malah juga melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda suatu hari nanti.

Baru – baru ini , semangat dan kecekalan Kai Xiang berjaya memperoleh perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubung, Yeoh Soon Hin yang mengadakan lawatan khas ke kediaman beliau di Taman Terubong Indah di sini.

Kai Xiang merupakan anak tunggal pasangan How Teik Cheang, 52 dan Poon Goet Ngoh, 46, yang juga mengalami masalah pendengaran dan percakapan sejak lahir.

Dalam kunjungan itu, selain beramah-mesra, Soon Hin turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM1,000 sebagai suntikan semangat kepada pelajar istimewa terbabit.

“Saya bersimpati, tetapi pada masa sama sangat kagum dengan semangat ditonjolkan Kai Xiang untuk memperoleh kejayaan.

“Semangat untuk berjaya inilah yang perlu ada pada setiap insan,” katanya melalui perantaraan jurubahasa di sini.